2,000 kapal tersekat, trafik maritim terhenti

LONDON – Kira-kira 2,000 kapal komersial terkandas di Selat Hormuz, terutamanya di Teluk Parsi, sejak bermulanya serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu, lapor Anadolu Ajansi.

Susulan permulaan serangan itu, Tehran bertindak menutup laluan air penting berkenaan kepada kapal yang mempunyai kaitan dengan negara penyerang, sekali gus menyebabkan trafik maritim di selat itu terhenti sepenuhnya.

Kapal di rantau berkenaan yang sedang bersiap sedia untuk melalui selat itu tidak dapat berbuat demikian berikutan ketegangan ketenteraan, dengan sebahagian besar kapal yang terkandas terpaksa melabuhkan sauh di perairan terbuka.

Setakat 22 Mac lalu, kira-kira 1,900 kapal tidak dapat bergerak di sekitar Selat Hormuz, menurut pengesan kapal masa nyata, MarineTraffic.

Antara yang terkandas termasuk 324 kapal pengangkut pukal, 315 kapal pengangkut produk minyak/kimia, 267 kapal pengangkut produk petroleum dan 211 kapal tangki minyak mentah.

Menurut firma analitis Vortexa, kira-kira 190 juta tong minyak mentah dan produk petroleum berada di atas kapal tangki yang terkandas di rantau itu.

Sementara itu, 177 kapal kargo am, 174 kapal kontena, 98 kapal pengangkut gas petroleum cecair (LPG), 42 kapal pengangkut asfalt/bitumen, 37 kapal angkat berat, dan 34 kapal tangki LPG/kimia turut berada di rantau berkenaan, manakala bakinya terdiri daripada jenis lain seperti kapal kargo Ro-Ro dan kapal tangki bekalan bahan api.

Syarikat Hapag-Lloyd dari Jerman baru-baru ini melaporkan enam kapalnya tidak dapat beroperasi di Teluk Parsi di tengah-tengah ketegangan yang berlaku.

Pengarah analisis maritim di Majlis Maritim Baltik dan Antarabangsa, Filipe Gouveia memberitahu, kesan pemberhentian trafik maritim terhadap pasaran maritim dan kadar tambang akan bergantung kepada pelbagai faktor.

Beliau berkata, perkembangan harga bahan api, tempoh penutupan selat dan jumlah kapal yang dibenarkan oleh Iran untuk melaluinya akan menjadi faktor penentu, sementara ketegangan di rantau itu kini mula menjejaskan kadar tambang.

Kenaikan itu amat ketara dalam pasaran kapal tangki, termasuk kapal tangki minyak mentah dan produk petroleum.

Beliau berkata, sejak 27 Februari lalu, Indeks Kapal Tangki Kotor Baltik meningkat 49 peratus dan Indeks Kapal Tangki Bersih Baltik sebanyak 78 peratus setakat 20 Mac, dengan kadar tambang dalam pasaran kontena turut melonjak.

Kenaikan kos bahan api dan pengumuman surcaj bahan api kecemasan oleh syarikat perkapalan turut menyumbang kepada peningkatan itu.

Related Posts

Malaysia sambut baik persefahaman AS-Iran demi keamanan Asia Barat

KUALA LUMPUR – Malaysia menyambut baik perkembangan positif hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran susulan persefahaman yang dicapai kedua-dua negara ke arah menamatkan permusuhan di Asia Barat. Perdana Menteri,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
14,000 mangsa masih tertimbus bawah runtuhan Gaza, pengecaman kian rumit

JAWATANKUASA Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengeluarkan amaran bahawa ribuan rakyat Palestin yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan bangunan di Gaza mungkin tidak akan dapat dikenal pasti identiti mereka selama-lamanya. Laporan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar saran ASEAN-Rusia perluas kerjasama sektor strategik

Anwar saran ASEAN-Rusia perluas kerjasama sektor strategik

ASEAN-Rusia perluas kerjasama ekonomi menerusi pelan strategik baharu

ASEAN-Rusia perluas kerjasama ekonomi menerusi pelan strategik baharu

Tragedi Kem Hobart: 10 anggota tentera sudah terkorban semasa latihan bom

Tragedi Kem Hobart: 10 anggota tentera sudah terkorban semasa latihan bom

Misi Kasih MAMPAN singgah di FELDA Lepar Hilir 3

Misi Kasih MAMPAN singgah di FELDA Lepar Hilir 3

Pelajar IPTS ‘kantoi’ cuba seludup bunga ganja RM1.17 juta

Pelajar IPTS ‘kantoi’ cuba seludup bunga ganja RM1.17 juta

Negara hancur dengan kebencian

Negara hancur dengan kebencian