
RAMAI rakyat Malaysia sebenarnya tidak sedar bahawa diesel di negara ini tidak dijual pada satu harga. Sebaliknya, diesel di Malaysia dijual pada 4 harga berbeza.
- Harga pasaran: pengguna diesel persendirian
- Pengangkutan awam: sekitar RM1.88 seliter
- Kenderaan pengangkutan barang: Fleet Card = RM2.15 seliter
- Sabah dan Sarawak: RM2.15 seliter (subsidi)
Inilah mekanisme sistem subsidi diesel bersasar, bukan subsidi pukul rata.
Ramai yang tidak faham perkara ini.
Jika dibandingkan dengan negara jiran, Thailand menjual diesel pada satu harga sahaja. Semua bayar pada harga yang sama. Nampak mudah, tetapi kaedah itu tidak effektif, tidak adil dan ada kebocoran di sana sini.
Mengikut data tahun 2024, Malaysia mempunyai lebih 38 juta kenderaan berdaftar. Jumlah kenderaan melebihi jumlah rakyat yang hanya sekitar 34 juta orang sahaja.
Pecahannya (lebih kurang):
Semenanjung – 32 juta
Sabah – 2.1 juta
Sarawak – 2.3 juta
Ini bermakna, lebih 80 peratus penggunaan bahan api berlaku di Semenanjung. Beban subsidi terbesar juga berlaku di Semenanjung.
Sabah dan Sarawak hanya menyumbang sebahagian kecil penggunaan diesel.
Logiknya begini, kerajaan mengekalkan harga diesel RM2.15 di Sabah dan Sarawak kerana:
i. Borneo mempunyai jumlah kenderaan yang lebih kecil tetapi dikuasakan oleh bahan bakar diesel.
ii. Peta geografi yang lebih luas dan berselerak.
iii. Kebergantungan kepada diesel lebih tinggi, di Borneo kenderaan berkuasa diesel adalah keperluan hampir mandatori. Seboleh-bolehnya perlu ada satu kereta pacuan 4 roda (4×4) bagi satu isi rumah.
Jika subsidi diesel dihapuskan di Sabah dan Sarawak, impaknya akan sangat besar. Bukan hanya di Borneo, tetapi ke atas seluruh negara.
Sistem subsidi bersasar di Malaysia sebenarnya lebih kompleks kerana ianya direka untuk melindungi sektor-sektor yang kritikal dan memaksimumkan penggunaan pengangkutan awam.
Yang paling penting, untuk mengelakkan duit rakyat (peruntukan subsidi) diseludup oleh pihak tidak bertanggungjawab dan dinikmati oleh orang bukan warganegara Malaysia.
Sayangnya, tak ramai yang ambil tahu.
Dan lebih malang, ada yang terus membandingkan Malaysia dengan negara lain tanpa memahami struktur sebenar subsidi bersasar ini ialah pilihan yang paling tepat untuk melindungi kepentingan negara.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)






