KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas yang diimport ke negara ini masih mencukupi walaupun berdepan cabaran peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu dimaklumkan selepas beliau mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), hari ini.
Beliau berkata, sesi berkenaan turut memberi ruang kepada kerajaan dan pemain industri meneliti perkembangan semasa berkaitan rantaian bekalan serta cabaran yang dihadapi sektor peruncitan.
“Melalui pengukuhan kerjasama antara kerajaan dan industri, bekalan barang keperluan asas yang diimport adalah mencukupi sungguhpun berhadapan dengan beberapa isu khususnya peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
MRA merupakan antara organisasi induk utama yang mewakili pemain industri dalam sektor peruncitan negara.
Sementara itu, konflik antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran dilaporkan memberi kesan langsung kepada ekonomi global, sekali gus menyebabkan kos sara hidup meningkat di beberapa negara.
Armizan berkata, antara agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan ialah isu berkaitan konflik di Asia Barat, khususnya implikasinya terhadap keterjaminan bekalan barangan serta kestabilan harga di pasaran.


