KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluaskan penguatkuasaan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada pemandu serta pemilik kenderaan berpendaftaran asing bermula 1 April ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu diambil bagi mengukuhkan pelaksanaan peraturan sedia ada yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak.
Beliau berkata, perkara itu dimuktamadkan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat bersama Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi meneliti persiapan akhir penguatkuasaan peluasan larangan berkenaan.
“Saya mempengerusikan mesyuarat bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN untuk memuktamadkan persiapan akhir penguatkuasaan peluasan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95.
“Kerangka perundangan sedia ada sebelum ini meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak saja, namun melalui peluasan kepada pengukuhan kerangka perundangan sedia ada, berkuat kuasa 1 April, kesalahan ini akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan berpendaftaran asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, pengusaha stesen minyak yang didapati melanggar peraturan terbabit boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.
Armizan berkata, penguatkuasaan itu dibuat susulan keputusan yang dibentangkan di Parlimen pada 29 Januari lalu.
Beliau turut memaklumkan bahawa usaha membanteras ketirisan bahan api bersubsidi akan diperkukuh melalui pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu, khususnya di kawasan sempadan negara yang berisiko tinggi berlakunya penyeludupan susulan ketegangan konflik di Asia Barat.
“Saya mengingatkan semua pihak sama ada pengusaha stesen minyak mahupun pengguna kenderaan asing mematuhi larangan ini.
“KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu, sindiket mahupun pengusaha terbabit aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api.
“Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Beliau pada masa sama menggesa orang ramai supaya terus bekerjasama dengan kerajaan dengan menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan membabitkan penyeludupan bahan api bersubsidi.
Menurutnya, kerjasama semua pihak selaras dengan agenda Kita Gempur penting bagi memastikan kepentingan rakyat terus dilindungi selain membanteras ketirisan subsidi.



