
KOTA KINABALU – Sabah dijangka terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama negara apabila kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) menyasarkan peningkatan ketibaan pelawat ke Malaysia sehingga 43 juta orang.
Penolong Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Khairul Amir Anuar berkata, prestasi sektor pelancongan negeri itu kini berada pada landasan kukuh dengan rekod ketibaan pelawat yang memberangsangkan.
“Sabah merekodkan sebanyak 3.79 juta ketibaan pelawat pada tahun 2025 dengan hasil pelancongan mencecah RM8.74 bilion, sekali gus membuktikan negeri itu kekal sebagai antara destinasi pelancongan paling menarik dan berdaya saing di Malaysia.
“Pencapaian ini sangat signifikan dan menunjukkan Sabah mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Bantuan Kewangan Pelancongan, Seni dan Budaya Kota Kinabalu, di sini pada Khamis.
Menurut Khairul Amir, di peringkat nasional, industri pelancongan Malaysia turut menunjukkan perkembangan positif apabila negara mencatatkan lebih 25 juta ketibaan pelancong antarabangsa pada tahun 2024, menandakan pemulihan kukuh sektor tersebut selepas beberapa tahun berdepan cabaran global.
“Momentum pertumbuhan itu dijangka terus meningkat melalui kempen Visit Malaysia 2026 yang menjadi platform utama untuk mempromosikan keunikan pelancongan negara kepada dunia.
“Kempen ini bukan sekadar promosi pelancongan semata-mata, tetapi merupakan gerakan nasional yang menghimpunkan pelbagai sektor termasuk pelancongan, seni, budaya, industri kreatif serta komuniti tempatan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Sabah memainkan peranan strategik sebagai pintu masuk utama pelancong ke Borneo selain terkenal dengan tarikan alam semula jadi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kejayaan industri pelancongan tidak hanya bergantung kepada keindahan destinasi, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelancongan, pemain industri, penganjur acara serta penggiat seni dan budaya.
“Sehubungan itu, sesi libat urus ini dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada penggiat industri mengenai pelbagai bentuk bantuan kewangan serta insentif yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Tourism Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah dan Kraftangan Malaysia.
“Saya menyeru semua pihak dalam industri pelancongan agar terus memperkukuh kerjasama bagi memastikan Sabah mampu muncul sebagai antara destinasi pelancongan utama di rantau Asia Pasifik menjelang Visit Malaysia 2026.
“Jika kerajaan, industri dan komuniti terus berganding bahu, saya yakin Sabah mampu melonjak lebih jauh dalam sektor pelancongan dan memberi impak positif kepada ekonomi negeri serta negara,” kongsinya.







