Perpaduan masyarakat Simunjan jadi kekuatan utama komuniti – Rodiyah

SIMUNJAN – Semangat perpaduan dan keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di Simunjan terus menjadi kekuatan utama yang menyatukan komuniti serta menyokong pembangunan kawasan tersebut.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, keunikan masyarakat Sarawak terserlah apabila rakyat daripada pelbagai agama dan budaya mampu hidup dalam suasana saling menghormati serta bersama-sama meraikan perayaan masing-masing.

Menurut beliau, sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini yang berlangsung dalam bulan Ramadan turut menjadi simbol keharmonian dan toleransi masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Walaupun kita berbeza latar agama dan budaya, namun kita meraikannya dalam satu semangat yang sama iaitu semangat kebersamaan, hormat-menghormati dan perpaduan,” katanya ketika berucap pada majlis Gong Xi Fa Cai dan Sungkey di Dewan Tua Pek Kong Pasar Simunjan, petang Khamis.

Beliau berkata, perpaduan masyarakat di Simunjan bukan sekadar slogan, sebaliknya dapat dilihat melalui penglibatan pelbagai kaum dalam pelbagai perayaan dan aktiviti kemasyarakatan.

Katanya, masyarakat Cina dan Iban pernah bersama-sama menyertai perarakan Maulidur Rasul, manakala masyarakat Melayu pula turut mengambil bahagian dalam perarakan Krismas serta Niti Daun.

“Ini membuktikan bahawa masyarakat di Sarawak bukan sekadar hidup berjiran, tetapi hidup sebagai satu keluarga besar yang saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Rodiyah turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina di Simunjan.

Beliau berkata, berdasarkan kalendar Cina, tahun ini merupakan Tahun Kuda yang melambangkan keberanian, ketekunan serta semangat bekerja keras.

“Semoga tahun ini membawa kemajuan, kesejahteraan serta rezeki yang melimpah kepada seluruh masyarakat di kawasan ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat Cina di Simunjan yang memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan ekonomi tempatan melalui penglibatan dalam sektor perniagaan, peruncitan, pertanian serta perkhidmatan.

“Usaha gigih mereka bukan sahaja membantu menjana ekonomi setempat, malah turut menyediakan peluang pekerjaan serta kemudahan kepada komuniti di kawasan ini,” jelasnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kapitan-Kapitan Cina serta pemimpin masyarakat yang berperanan sebagai jambatan antara komuniti dan kerajaan dalam menyampaikan suara rakyat serta menjayakan pelbagai program pembangunan di peringkat akar umbi.

Rodiyah berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan di kawasan Simunjan dan Batang Sadong melalui pelbagai usaha bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur serta memperkukuh ekonomi tempatan.

Menurutnya, kerajaan juga terus membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 oleh Kerajaan Persekutuan serta Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) oleh kerajaan negeri yang mula disalurkan kepada penerima yang layak pada 10 Mac lalu.

“Inisiatif ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau melihat Simunjan mempunyai potensi besar untuk dibangunkan khususnya dalam sektor pertanian moden, agro-pelancongan dan homestay yang mampu meningkatkan pendapatan masyarakat.

Sehubungan itu, Rodiyah menyeru para pelabur, usahawan serta pemilik tanah agar meneroka peluang kerjasama dengan pihak pemaju atau pelabur bagi memanfaatkan potensi ekonomi yang terdapat di kawasan berkenaan.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama rapat dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris serta pemimpin masyarakat bagi memastikan pembangunan kawasan itu terus diperkasa.

“Perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat menjadi asas penting kepada kemajuan sesuatu kawasan. Dengan semangat kebersamaan ini, saya yakin Simunjan akan terus membangun dan maju,” katanya.

Related Posts

Aset RM2.08 juta dirampas, dua lelaki ditahan disyaki seleweng diesel

SANDAKAN – Dua lelaki ditahan selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah membongkar kegiatan disyaki menyeleweng minyak diesel bersubsidi membabitkan nilai keseluruhan rampasan lebih RM2 juta di sebuah jeti…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lelaki dicekup jual nombor loteri haram di tebingan Sungai Roban

ROBAN – Kegiatan seorang lelaki tempatan yang menjadikan jualan nombor loteri awam haram sebagai sumber pendapatan sampingan terbongkar selepas ditahan dalam satu serbuan di sebuah pondok rehat di tebingan Sungai…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar pengerusi mesyuarat MTPMA63, lawat PPS Kampung Numbak

Anwar pengerusi mesyuarat MTPMA63, lawat PPS Kampung Numbak

Permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang

Permohonan pengampunan Najib ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang

Pantai Timur potensi jadi destinasi pelaburan lebih besar

Pantai Timur potensi jadi destinasi pelaburan lebih besar

United buka kempen Liga Juara-Juara, tewaskan juara Azerbaijan 4-0

United buka kempen Liga Juara-Juara, tewaskan juara Azerbaijan 4-0

HTF30 kemuka laporan interim hala tuju baharu FELDA kepada PM hujung bulan

HTF30 kemuka laporan interim hala tuju baharu FELDA kepada PM hujung bulan

Aset RM2.08 juta dirampas, dua lelaki ditahan disyaki seleweng diesel

  • By Fandi
  • September 11, 2026
Aset RM2.08 juta dirampas, dua lelaki ditahan disyaki seleweng diesel