Rakyat Sarawak terima bantuan SKAS sebelum Aidilfitri

KUCHING – Sarawak akan meneruskan pengagihan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) pada tahun ini, dengan pembayaran dijangka dikreditkan kepada penerima yang layak sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengagihan sumbangan berkenaan akan dilancarkan pada bulan Ramadan bagi membolehkan rakyat membuat persiapan awal menjelang musim perayaan.

“Kita akan lancarkan pada bulan Ramadan, di mana penerima yang layak boleh menyemak menerusi aplikasi SarawakPay untuk melihat sama ada sumbangan tersebut telah dikreditkan oleh kerajaan negeri bagi membantu mereka membeli barangan keperluan,” katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2026 di Kompleks Satria Pertiwi pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Abang Johari menjelaskan bahawa pelaksanaan SKAS mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memelihara kebajikan rakyat, terutamanya bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

Tegas beliau, inisiatif tersebut adalah untuk memastikan ‘dapur rakyat sentiasa berasap’, selain membuktikan bahawa dasar yang mengutamakan kepentingan rakyat mampu membantu meringankan beban kehidupan harian mereka secara langsung.

Sebagai langkah proaktif untuk memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial pada tahun ini, kerajaan Sarawak turut mengumumkan peningkatan jumlah bantuan SKAS.

Menerusi pelarasan baharu itu, isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah akan menerima RM950 setahun berbanding RM800 sebelum ini, dengan RM316 bagi setiap pengagihan.

Bagi warga emas tanpa pasangan atau anak yang berpendapatan RM5,000 ke bawah, bantuan ditingkatkan daripada RM400 kepada RM500 setahun (RM166 bagi setiap pengagihan).

Manakala bagi individu bujang berpendapatan RM2,500 ke bawah, bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 setahun, bersamaan RM100 bagi setiap pengagihan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Datuk Seri Fatimah Abdullah serta Timbalan-Timbalan Menteri KPWK, Datuk Rosey Yunus dan Datuk Mohammad Razi Sitam.

Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

Related Posts

Kelulusan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Samalaju perkukuh ekonomi Sarawak – Awang Tengah

KUCHING – Persetujuan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan meluluskan Fasa 1 Pelabuhan Perindustrian Samalaju sebagai Zon Perdagangan Bebas menandakan satu pencapaian strategik yang signifikan bagi Sarawak.   Timbalan Premier Sarawak, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sarawak kekal hubungan harmoni dengan Persekutuan, terus tegas tuntut hak MA63

KUCHING – Mengambil pendekatan serampang dua mata, kerajaan Sarawak kekal komited memelihara hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan, namun berpendirian teguh dalam memastikan hak pembangunan serta keistimewaan negeri di bawah Perjanjian…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kelulusan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Samalaju perkukuh ekonomi Sarawak – Awang Tengah

Kelulusan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Samalaju perkukuh ekonomi Sarawak – Awang Tengah

Harga bahan api naik minggu ini, RON95 tanpa subsidi cecah RM4.07

Harga bahan api naik minggu ini, RON95 tanpa subsidi cecah RM4.07

Sarawak kekal hubungan harmoni dengan Persekutuan, terus tegas tuntut hak MA63

Sarawak kekal hubungan harmoni dengan Persekutuan, terus tegas tuntut hak MA63

Pisau ‘rambo’ 6 inci tikam leher ibu tunggal ditemui dekat sawah

Pisau ‘rambo’ 6 inci tikam leher ibu tunggal ditemui dekat sawah

Kerajaan Sabah terus fokus pembangunan Tongod menerusi SMJ – Hajiji

Kerajaan Sabah terus fokus pembangunan Tongod menerusi SMJ – Hajiji

Jadikan Indonesia rujukan perkasa sistem pendidikan kebangsaan melalui bahasa rasmi negara

Jadikan Indonesia rujukan perkasa sistem pendidikan kebangsaan melalui bahasa rasmi negara