
LIMBANG – Persatuan Anak-Anak Limbang Semenanjung (PAALS) digesa tampil sebagai penggerak utama bagi merealisasikan penganjuran Sukan Teluk Brunei yang berpotensi berkembang menjadi acara sukan bertaraf antarabangsa.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kawasan Teluk Brunei mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan sukan menerusi penganjuran pelbagai acara yang mampu menarik penyertaan dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, antara acara yang boleh diketengahkan ialah larian separuh maraton, perlumbaan perahu, berkayak serta pelbagai aktiviti sukan air.

“Saya mengimpikan untuk melaksanakan Sukan Teluk Brunei kerana melihat potensinya yang sangat besar. Saya percaya jika dirancang dengan baik, program ini mampu berkembang ke peringkat antarabangsa.
“Saya berharap ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya Persatuan Anak-Anak Limbang Semenanjung, yang berani menyahut cabaran ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi minum petang bersama Jawatankuasa LusiRun Limbang 2026 di Dewan Bunga Raya, pada Jumaat.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang berkata, penganjuran LusiRun Limbang 2026 boleh dijadikan batu loncatan untuk menganjurkan acara sukan yang lebih besar pada masa hadapan.
Menurutnya, usaha itu bukan sahaja berupaya memperkenalkan Limbang sebagai destinasi pelancongan sukan, malah berpotensi merancakkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat.
“Kalau bukan kita orang Limbang sendiri yang mahu melaksanakan program berskala besar seperti Sukan Teluk Brunei, siapa lagi?
“Persatuan anak-anak Limbang perlu tampil lebih aktif dan berani mengambil peluang ini demi kemajuan daerah kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap PAALS bersama NGO dan pihak berkaitan dapat memperkukuh kerjasama bagi merancang penganjuran Sukan Teluk Brunei secara lebih menyeluruh.
Menurutnya, penglibatan aktif pertubuhan masyarakat tempatan penting bagi memastikan potensi kawasan berkenaan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan sektor sukan dan pelancongan.
LusiRun Limbang 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini merupakan acara larian anjuran PAALS dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Limbang dan Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang-Miri (DSLM).
Acara tersebut merangkumi kategori larian 21 kilometer, 10 kilometer dan jalan santai tiga kilometer sebagai usaha menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkenalkan potensi pelancongan Limbang.


