
KOTA KINABALU – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) giat membuat pemantauan harian di semua bazar Ramadan di bawah kendalian serta lokasi yang diuruskan persatuan bagi memastikan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sentiasa terpelihara.
Mayor DBKK, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, operasi tersebut melibatkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Jabatan Penguatkuasa DBKK yang menjalankan pemeriksaan rapi sepanjang bulan Ramadan.
“Pemeriksaan tidak hanya tertumpu kepada aspek kebersihan tapak niaga, tetapi juga melibatkan pematuhan syarat kesihatan dalam penyediaan makanan.
“Kita memastikan semua pengendali makanan telah mendapatkan suntikan kesihatan yang diwajibkan sebelum dibenarkan berniaga.
“Ini penting bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah dan isteri di sini, pada Isnin.
Menurut Sabin, pemeriksaan turut merangkumi kaedah penyimpanan dan penyajian makanan bagi memastikan hidangan sentiasa bertutup serta tidak terdedah kepada sebarang pencemaran.
“Kita tidak mahu ada makanan yang dibiarkan terbuka atau dijual dalam keadaan basi. Tindakan tegas boleh diambil sekiranya peniaga gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
“DBKK turut memberi perhatian serius terhadap aspek pengurusan sisa dan pembuangan minyak masak terpakai, khususnya melibatkan peniaga yang menjalankan aktiviti memasak secara terus di tapak bazar,” tegasnya.




