Projek Jalan Mat Daling-Gusai berjalan ikut jadual

KUANTAN – Projek Jalan Kampung Tuit ke Kampung Mat Daling dan pembinaan jambatan ke Sekolah Kebangsaan Gusai di Mukim Ulu Tembeling, dekat Jerantut, mencatatkan kemajuan mendahului jadual asal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Lantikan) Pahang, Haris Salleh Hamzah berkata, perkembangan itu dapat dilihat hasil lawatan tapak dan sesi taklimat projek pada Rabu lalu bagi meninjau status semasa projek berkenaan.

Menurutnya, projek itu dilaksanakan sebuah syarikat dengan kos keseluruhan berjumlah RM156,211,697.10 dan bermula pada 3 Ogos 2022 dengan tempoh asal kontrak selama 36 bulan.

“Susulan kelulusan lanjutan masa, tarikh siap terkini projek ditetapkan pada 10 April depan.

“Kita mendapati projek sedang berjalan dan tidak terbengkalai dengan kemajuan fizikal yang positif,” katanya, lapor Pahang Media.

Haris memaklumkan, beberapa isu dikenal pasti sepanjang pelaksanaan projek, terutama berkaitan keselamatan dan kesihatan penduduk kampung akibat kehadiran jentera berat serta penyelenggaraan sementara laluan sedia ada.

Selain itu, katanya, proses pengambilan tanah dan pembayaran pampasan kepada penduduk terlibat juga perlu diteliti untuk mempercepatkan penyelesaian mengikut peraturan sedia ada.

Beliau menambah pihaknya sudah mengambil maklum aduan dan kenyataan awam dibangkitkan oleh sebahagian penduduk.

“Hasil penelitian mendapati terdapat fakta tidak tepat mengenai jajaran sebenar projek, khususnya melibatkan Fasa 2A hingga 2D yang merangkumi Jalan Kuala Sat sepanjang 4.2 kilometer (km), Kampung Bantal Seberang ke Kampung Mat Daling hingga Tanah Pindah (12.2 km), sambungan Pakej 2 ke Kampung Mat Daling (4.2 km) dan Kampung Bantal ke Gusai (6.8 km).

“Untuk penjelasan, projek ini melibatkan pembinaan laluan baharu dan tidak menggunakan jalan balak sedia ada sebagai jajaran projek,” jelasnya.

Dalam pada itu, Haris berkata, pihak berkuasa mengambil maklum rungutan penduduk mengenai keadaan jalan ladang yang masih digunakan untuk pergerakan harian ke Kampung Gusai, terutama di kawasan kritikal seperti Paya Poh, Bukit Buluh dan Bukit Kubur.

Menurutnya, hasil perbincangan, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran akan menumpukan penyelenggaraan berkala serta langkah mitigasi sementara di lokasi kritikal bagi keselamatan penduduk dan kelancaran pergerakan harian sehingga projek utama siap sepenuhnya.

“Kerajaan negeri melalui agensi pelaksana komited untuk memastikan projek berimpak tinggi ini dilaksanakan secara teratur, berfasa dan mematuhi semua keperluan teknikal serta perundangan.

“Pemantauan berterusan akan diteruskan sehingga projek ini disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Related Posts

Operasi SAR pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih diperhebat, dibantu Orang Asli

TAPAH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, akan diperkukuhkan dengan penglibatan komuniti Orang Asli bagi membantu usaha mengesan mangsa.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kes MB Perlis tembak lembu: Polis mula siasatan awal

KANGAR – Polis memulakan siasatan awal berhubung video tular yang memaparkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah dipercayai menembak seekor lembu ketika program korban di Kuala Perlis. Ketua Polis Daerah…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Bekalan minyak dunia kritikal jika Selat Hormuz tidak dibuka

Bekalan minyak dunia kritikal jika Selat Hormuz tidak dibuka

Gordon sah sertai Barcelona

Gordon sah sertai Barcelona

MINDA TOK ABAH: Langkah sepanjang zaman Siti Hajar

MINDA TOK ABAH: Langkah sepanjang zaman Siti Hajar

Operasi SAR pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih diperhebat, dibantu Orang Asli

Operasi SAR pendaki wanita hilang di Gunung Batu Putih diperhebat, dibantu Orang Asli

Kes MB Perlis tembak lembu: Polis mula siasatan awal

Kes MB Perlis tembak lembu: Polis mula siasatan awal

Pemandu ambulans swasta didakwa bunuh kanak-kanak lelaki

Pemandu ambulans swasta didakwa bunuh kanak-kanak lelaki