
TURKISH Red Crescent menghantar kapal bantuan kemanusiaan ke-21 dikenali sebagai ‘Ship of Goodness’ ke Gaza Strip, sekali gus menjadi penghantaran tunggal terbesar sejak program bantuan maritim itu dilancarkan.
Kapal berkenaan berlepas dari Mersin International Port selepas beberapa hari proses pemuatan bekalan yang diperoleh sepenuhnya melalui sumbangan orang awam serta diselaraskan oleh rangkaian cawangan Turkish Red Crescen di seluruh Turkiye.
Antara muatan kapal ialah pek makanan khas untuk juadah berbuka puasa dan sahur, makanan sedia dimakan serta mudah disediakan, kit kebersihan, pakaian, selimut, bahan perlindungan dan keperluan bayi. Pihak berkuasa menyifatkan penghantaran kali ini sebagai yang paling menyeluruh sejak koridor bantuan laut diwujudkan, lapor ILKHA.
Mengikut mekanisme sedia ada, kapal bantuan berlepas dari selatan Turkiye menuju pelabuhan El-Arish di Mesir sebelum bekalan dipindahkan menggunakan trak ke Gaza melalui laluan darat dengan kerjasama Egyptian Red Crescent dan Palestine Red Crescent Society.
Sejak gencatan senjata terbaharu berkuat kuasa, empat kapal bantuan sudah tiba di rantau itu, tiga daripadanya dianjurkan secara langsung oleh Turkish Red Crescent. Penghantaran terdahulu membawa lebih 800 tan bekalan musim sejuk dan makanan melalui kapal ke-18, kira-kira 1,300 tan melalui kapal ke-19, serta sekitar 1,400 tan pelbagai bantuan kemanusiaan melalui kapal ke-20.







