
PEMAIN tengah Belanda, Noa Lang meledak dua gol ketika Galatasaray membelasah Juventus 5-2 dalam aksi penuh mendebarkan pada perlawanan pertama play-off Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Skuad Juventus kendalian Luciano Spalletti mendahului 2-1 pada babak pertama selepas Teun Koopmeiners membalas jaringan awal pemain tengah Brazil, Gabriel Sara dengan dua gol peribadi.
Namun pemain pertahanan kiri Colombia, Juan Cabal dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua pada babak kedua yang menjadi ‘detik penuh sengsara’ buat pelawat apabila dua gol Lang serta jaringan Davinson Sanchez dan Sacha Boey menenggelamkan kelab Itali itu.
“Kami mengundur beberapa langkah ke belakang,” keluh Spalletti yang menyaksikan pasukannya kembali segar sejak dia mengambil alih hujung Oktober lalu ketika Juve berada di tangga ketujuh Serie A.

“Kami menamatkan babak pertama dengan buruk, kami cuba memperbetulkan keadaan tetapi kurang personaliti dan karakter,” tegas jurulatih berusia 66 tahun itu.
“Sudah tentu kad merah memberi kesan besar kepada kami, tetapi kami juga menyumbang kepada masalah sendiri… Kami tidak menyedari bahaya daripada apa yang kami lakukan.”
Kekalahan itu menyamai rekod kekalahan kedua terbesar Juventus dalam saingan Eropah selepas diaibkan 0-7 oleh Wiener Sport-Club yang kini beraksi di liga wilayah Austria pada 1958.





