
BAGAN DATUK – Polis mengesahkan tiga maut termasuk dua beradik selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 25, Batu 16, Jalan Hutan Melintang–Bagan Datuk dekat Sungai Sumun, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Mohammad Ali Mohd Jali berkata, mangsa yang terlibat dikenal pasti sebagai enam sekeluarga iaitu sepasang suami isteri bersama empat anak saudara.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu berlaku apabila lori dipandu seorang wanita berusia 41 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Kia dinaiki enam sekeluarga berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu kereta serta dua penumpang disahkan meninggal dunia, dengan seorang maut di lokasi kejadian manakala dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Adam Rifqi Mohd Fairuz, 12, adik perempuannya, Nur Aadimiyya Rifqina, 6, serta bapa saudara mereka, Muhammad Nashrul Zainal Anuar, 26, yang memandu kenderaan berkenaan.
Tambah beliau, tiga lagi ahli keluarga iaitu seorang wanita berusia 24 tahun, remaja perempuan berusia 13 tahun dan bayi perempuan berusia 6 bulan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan perut, dan kini menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.
“Pemandu lori pula mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di hospital sama,” katanya.
Mohammad Ali berkata, kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan bagi tujuan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang waris keluarga, merayu orang ramai yang berada di lokasi kejadian agar tampil membantu siasatan, khususnya mereka yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam).
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Normah Abu Hassan, di talian 010-536 4619.




