
ROBAN – Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) terus diiktiraf sebagai tunjang utama pentadbiran di peringkat akar umbi dalam memastikan aspirasi kerajaan sampai kepada rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, golongan pemimpin ini memainkan peranan strategik bagi memastikan segala dasar dan inisiatif pembangunan dapat disampaikan dengan berkesan, khususnya di kawasan kampung dan rumah panjang.
Menurutnya, KMKK bukan sekadar pemimpin komuniti, malah merupakan sebahagian daripada institusi penting kerajaan yang memikul tanggungjawab besar dalam menjaga keselamatan serta keharmonian masyarakat.
“KMKK ini ibarat jambatan yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat.
“Tanpa peranan mereka, usaha pembangunan serta penyampaian maklumat tidak akan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Solidariti KMKK Roban 2026 yang berlangsung di Dewan Masyarakat Roban pada Rabu.

Dalam pada itu, Friday turut menyifatkan Persatuan KMKK Roban sebagai platform terbaik untuk memperkukuh kerjasama dan menyemai semangat kebersamaan demi kebaikan komuniti setempat.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada 10 mantan Tuai Rumah yang direhatkan sebagai simbol penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti mereka sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Kerajaan amat menghargai jasa serta pengorbanan para Tuai Rumah dan KMKK yang sentiasa menjadi rujukan masyarakat dalam pelbagai perkara termasuk kebajikan, pembangunan dan perpaduan,” tambahnya.
Pada majlis sama, satu sesi dialog turut diadakan bagi membolehkan KMKK menyuarakan pandangan serta mengemukakan isu berbangkit di kawasan masing-masing untuk tindakan susulan.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Kabong, Tahir Sharee; Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller dan Pengerusi Persatuan KMKK Roban, Tuai Rumah Jack.
Foto: Facebook ADUN Krian



