Laporan tidak berasas jejas keyakinan awam – SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan laporan Bloomberg yang didakwa mengelirukan serta tidak berasas berkaitan Ketua Pesuruhjaya, sambil menegaskan ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap suruhanjaya itu.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan pihaknya memandang serius laporan berkenaan kerana bukan sahaja menjejaskan imej dan reputasi pegawai terbabit, malah mengaitkan suruhanjaya itu secara tidak adil dengan dakwaan salah laku.

“Sebarang gambaran yang menggambarkan kegagalan mengisytiharkan aset adalah tidak tepat dari segi fakta dan mewujudkan tanggapan mengelirukan terhadap integriti serta rangka kerja tadbir urus yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

SPRM menjelaskan, pengisytiharan aset oleh penjawat awam tertakluk kepada prosedur pentadbiran serta tadbir urus yang ditetapkan di bawah kerangka perkhidmatan awam dan perlu dikemukakan melalui saluran rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

Menurut kenyataan tersebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengisytiharan aset yang berkuat kuasa, termasuk pengisytiharan menerusi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Katanya, pengisytiharan itu meliputi sumber pendapatan serta perolehan dan pelupusan aset, termasuk pegangan saham.

SPRM turut menegaskan sebarang dakwaan yang membayangkan ketidakpatuhan adalah tidak tepat serta memberikan gambaran tidak adil terhadap suruhanjaya itu sebagai agensi penguatkuasaan yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara integriti dan ketelusan.

“Laporan sedemikian secara tidak wajar mengaitkan SPRM dengan dakwaan salah laku dan boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap Suruhanjaya,” katanya.

Sehubungan itu, SPRM menegaskan komitmen berterusan untuk menegakkan kepercayaan, integriti dan ketelusan dalam melaksanakan tugas berkanun.

“SPRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menjejaskan kredibiliti serta keyakinan awam melalui laporan yang tidak tepat dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menjelaskan pegangan saham beliau sebelum ini dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dilaksanakan secara telus serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Laporan News Straits Times, Azam memberitahu beliau tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan berhubung saham bernilai RM800,000 itu, selain menegaskan transaksi tersebut telah diisytiharkan dengan sewajarnya.

Beliau berkata, saham berkenaan dibeli pada tahun lalu dan telah dilupuskan dalam tahun yang sama.

Azam turut menyifatkan laporan yang mempersoalkan urus niaga itu sebagai berniat jahat dan mengelirukan, selain memaklumkan beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang kerana dakwaan tersebut bersifat memfitnah.

Related Posts

Malaysia nombor dua Asia Tenggara bagi prestasi penstriman internet

SHAH ALAM –  Kualiti rangkaian internet tetap di Malaysia semakin meningkat sehingga dinobatkan tempat kedua dalam kalangan lima negara terbaik di Asia Tenggara. Pencapaian itu berdasarkan data platform bebas pengukuran…

Lebih lanjut

teruskan membaca
SPRM ingatkan masyarakat jangan mudah percaya maklumat tular

PUTRAJAYA – Isu persepsi antara cabaran paling kritikal bukan sahaja terhadap organisasi kerajaan dan swasta, malahan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM, Hisyam Mohd…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Pemuda UPKO, Warisan buat laporan polis isu kenyataan Noorazli

  • By Ezmie
  • September 15, 2026
Pemuda UPKO, Warisan buat laporan polis isu kenyataan Noorazli

Penglibatan anak muda beri dimensi baharu Sambutan Hari Malaysia di Sabah

  • By Ezmie
  • September 15, 2026
Penglibatan anak muda beri dimensi baharu Sambutan Hari Malaysia di Sabah

Malaysia nombor dua Asia Tenggara bagi prestasi penstriman internet

Malaysia nombor dua Asia Tenggara bagi prestasi penstriman internet

SPRM ingatkan masyarakat jangan mudah percaya maklumat tular

SPRM ingatkan masyarakat jangan mudah percaya maklumat tular

Leeds belasah Newcastle 4-1

Leeds belasah Newcastle 4-1

Jerebu semakin meruncing, Maxim edar pelitup muka percuma buat penumpang

Jerebu semakin meruncing, Maxim edar pelitup muka percuma buat penumpang