
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan akan meletakkan jawatan daripada Kabinet serta-merta sebaik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di rumah.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, pendiriannya tidak berubah seperti yang diumumkan sebelum ini, meskipun Najib dilaporkan sudah keluar dari Penjara Kajang hari ini.
“Pendirian saya tidak berubah. The moment Najib Razak sampai rumah bermaksud saya akan letakkan jawatan.
“Kalau malam ini dia jejak rumah, malam inilah berkuat kuasa. Jika esok, esoklah,” katanya pada sidang media di pejabatnya pada Jumaat.
Bagaimanapun, Anthony berkata, beliau dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Najib belum dibenarkan pulang ke rumah, sebaliknya dibawa ke klinik pergigian untuk pemeriksaan yang dijadualkan hari ini.
Beliau turut difahamkan bayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib telah diselesaikan pagi tadi.
“Maksudnya, dia belum dihantar ke rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas mandat dan kepercayaan diberikan sepanjang 47 bulan beliau menerajui Kementerian Pengangkutan.
Ditanya sama ada Anwar menghubunginya berhubung keputusan itu, Anthony berkata, pendiriannya sudah dinyatakan sebelum ini.
Untuk rekod, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020 selepas disabitkan kesalahan dalam kes SRC International membabitkan dana RM42 juta.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman itu kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Pada September, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenankan pengampunan tambahan dalam bentuk tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda berkenaan. UMNO kemudian melancarkan tabung solidariti bagi membantu Najib menjelaskan denda itu.


