
Oleh: Nana Mohamad & Lina. B
SIBU – Sarawak merekodkan sebanyak 21,747 kes kemalangan jalan raya sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2025, sekali gus menunjukkan tahap keselamatan jalan raya di negeri ini masih membimbangkan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah tersebut melibatkan 418 kematian, 189 kes kecederaan parah dan 3,300 kes kecederaan ringan.
“Keselamatan di jalan raya bermula dengan sikap dan disiplin setiap pengguna. Penguatkuasaan adalah penting, namun kesedaran kendiri merupakan kunci utama dalam mengurangkan risiko kemalangan,”
“Setiap satu angka kemalangan mewakili tragedi sebenar. Justeru, kita tidak boleh memandang ringan soal keselamatan walaupun untuk perjalanan yang singkat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2026 di sebuah stesen minyak di Sibu pada Selasa
Menurut beliau, statistik berkenaan jelas menunjukkan aspek keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama semua pengguna dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu agensi penguatkuasaan semata-mata.



