
COLE Palmer mencipta sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila muncul pemain pertama menjaringkan hatrik di babak pertama dalam tiga perlawanan berbeza, selepas sebelum ini melakukannya menentang Everton dan Brighton & Hove Albion.
Bintang Chelsea itu juga kini menjadi pemain paling banyak meledak hatrik EPL dalam sejarah kelab berkenaan selepas mengumpul empat hatrik keseluruhan, mengatasi semua pemain The Blues terdahulu.
Palmer membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-13 susulan kekasaran ke atas Joao Pedro, sebelum mengulangi kejayaan dari titik putih pada minit ke-35 selepas rakan sepasukan sama sekali lagi dijatuhkan.
Hatriknya dilengkapkan dengan jaringan padang hasil hantaran Marc Cucurella, sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan ke atas Wolverhampton.
Palmer turut menepis spekulasi mengaitkannya dengan perpindahan keluar kelab apabila meraikan gol pertamanya dengan menutup telinga sebelum menghembuskan ciuman kepada penyokong Chelsea.
“Semua orang suka bercakap perkara tidak masuk akal, bukan? Saya tidak beri banyak perhatian.
“Saya nampak perkara itu, tetapi saya datang daripada latar belakang yang kuat, jadi saya tidak ambil peduli,” katanya kepada BBC Match of the Day.
Palmer turut memuji pendekatan Rosenior yang menurutnya memberi kebebasan dan keyakinan kepada pemain.
“Kehidupan di bawah Liam memang hebat. Dia beri kami keyakinan, biarkan kami jadi diri sendiri dan bermain dengan bebas.
“Apabila saya kembali cergas sepenuhnya, anda akan nampak versi terbaik saya,” katanya.








