PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tidak berdepan risiko digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan langkah pemulihan dalaman yang sedang dibuat ketika ini.
Jaminan itu disuarakan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John yang mengesahkan perancangan untuk memulihkan badan induk itu telah dibincangkan antara AFC dan FIFA.
Bagaimanapun, Windsor menegaskan, FAM wajib bersetuju dan menerima cadangan penambahbaikan serta perubahan drastik yang bakal dibentangkan AFC, demi kebaikan bola sepak Malaysia.
“Sebelum kita buat proses ini, saya sudah bincang dengan FIFA untuk buat pemulihan di FAM. Jadi, FIFA tidak akan campur tangan selepas ini.
“FIFA akan memantau, tetapi mandat diberi kepada AFC untuk bantu FAM.
“Namun ada syaratnya. FAM kena setuju. Apa-apa perubahan kita cadangkan, perlu diterima demi kebaikan bola sepak. Selagi FAM bersetuju dengan semua perubahan, risiko itu tiada,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pada Rabu lalu, bekas Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam satu sidang media mengumumkan bahawa semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif bagi penggal 2025–2029 secara kolektif dan sukarela meletakkan jawatan serta-merta.
Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden FAM memaklumkan, keputusan sebulat suara itu diambil dengan mengambil kira tanggungjawab terhadap organisasi, tanpa melibatkan sebarang kepentingan peribadi.





