
KANGAR — Tindakan sebuah kedai runcit di sini menjual minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram dengan mengenakan syarat pembelian barangan lain membawa kepada serbuan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri di sini semalam.
Serbuan dijalankan susulan aduan awam berhubung penjualan bersyarat minyak masak bersubsidi di premis berkenaan yang bertentangan dengan peraturan pengedaran barangan kawalan.
Pengarah KPDN Perlis, Rohaida Hassan berkata, tindakan awal penguatkuasaan dibuat melalui kaedah uji beli dengan menempatkan anggota berpakaian preman ke premis terbabit.
“Ketika uji beli dijalankan, pemilik premis memaklumkan pembeli perlu membeli barangan lain terlebih dahulu sebelum dibenarkan membeli minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram.
“Hasil uji beli itu disahkan sebelum pasukan serbuan masuk ke premis berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pemeriksaan membawa kepada sitaan sebanyak 430 kilogram minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram dengan nilai anggaran RM1,075 untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 19, Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara terhadap individu serta pertubuhan perbadanan jika disabitkan kesalahan.
Dalam pada itu, KPDN memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjual minyak masak peket bersubsidi dengan mengenakan sebarang syarat kepada pengguna.
Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan berhubung penjualan bersyarat atau aktiviti mencurigakan melalui saluran rasmi KPDN.






