
KOTA KINABALU – Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang akan dilancarkan Jumaat disifatkan sebagai isyarat jelas Sabah tidak lagi mahu hanya ‘mengikut arus’, kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Beliau berkata, SMJ 2.0 penting kerana Sabah tidak pernah kekurangan bakat atau sumber sebaliknya yang sering menjadi kekangan ialah kesinambungan.
“Sabah mahu memimpin hala tuju sendiri. Sabah mahu bergerak sebagai sebuah negeri yang yakin, berdaya saing dan dihormati, di dalam Malaysia dan juga di luar.
“Kestabilan inilah yang membolehkan institusi matang, projek disiapkan dan pembaharuan benar-benar menjadi kenyataan,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Menurut Mandela, SMJ 2.0 membawa Sabah ke fasa transformasi iaitu membaiki apa yang perlu dibaiki, membina apa yang perlu dibina serta mengukur prestasi melalui hasil yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat.
“Bila politik berubah, keutamaan pun mudah berubah. Ada yang cuba cuci tangan, tapi rakyat Sabah yang menaggung kerugiannya.
“Projek Pan Borneo kehilangan momentum apabila model Project Delivery Partner dibatalkan oleh kerajaan terdahulu. Akhirnya rakyat Sabah terpaksa membayar RM315 juta pampasan dan ganti rugi,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan SMJ 1.0 sebagai fasa menstabilkan pentadbiran, pulihkan keyakinan, kemaskan penyelarasan, perkuat disiplin kewangan dan menetapkan keutamaan yang jelas.
Jelasnya, SMJ 2.0 berpandukan empat teras iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.
“SMJ 2.0 berdiri atas satu prinsip yang mudah, Rumah Kita, Kita Jaga. Kepentingan Sabah didahulukan, hak Sabah dipertahankan dan pembangunan dibentuk oleh rakyat Sabah untuk masa depan Sabah.
“Pada 30 Januari, kita bukan sekadar melancarkan satu dokumen. Kita sedang menetapkan haluan untuk lembaran seterusnya Sabah, berteraskan maruah, dipacu prestasi dan dikuatkan dengan perpaduan. Percaya pada Sabah. Yakin pada kepimpinan yang stabil. Mari kita maju bersama,” katanya.
Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor kerana memastikan Sabah kekal stabil.



