
IPOH – Program pelantikan Duta Kenali Ubat Anda (KUA) Negeri Perak 2026 mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya melibatkan penyertaan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) Pekak dalam usaha memperluas pendidikan kesihatan secara lebih inklusif kepada masyarakat.
Menerusi program anjuran Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Perak itu, seramai 15 duta baharu berjaya dilatih termasuk empat peserta daripada komuniti OKU Pekak melalui Bengkel Training of Trainers (TOT) Duta Kenali Ubat Anda yang berlangsung pada 12 hingga 14 Mei lalu di Hotel Travelodge Ipoh.
Program berkenaan turut mendapat bantuan jurubahasa isyarat, Azlina Kamal Bashah bagi memastikan penyampaian latihan lebih efektif dan mudah difahami sepanjang bengkel berlangsung.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Perak, Zulkhairi Mohamed Daud berkata, penglibatan komuniti termasuk golongan OKU dalam program kesihatan awam amat penting bagi memastikan maklumat berkaitan penggunaan ubat dapat disampaikan secara menyeluruh kepada masyarakat.
“Duta KUA memainkan peranan penting sebagai penghubung kesihatan komuniti dalam mendidik masyarakat mengenai penggunaan ubat yang betul, selamat dan berkualiti.
“Penyertaan peserta OKU Pekak dalam program ini juga membuktikan pendidikan kesihatan perlu bersifat inklusif dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat,” katanya ketika merasmikan bengkel tersebut.
Menurut beliau, peserta turut diberikan pendedahan asas berkaitan konsep 5B menggunakan teknik Visualisation in Participatory Programs (VIPP), selain memahami peranan dan tanggungjawab mereka sebagai Duta KUA di peringkat komuniti.

Katanya, pelaksanaan program itu bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada peserta, malah menjadi platform penting dalam melahirkan lebih ramai individu cakna kesihatan yang mampu membantu meningkatkan literasi kesihatan awam.
“Diharapkan semua Duta KUA baharu dapat menjadi pemangkin kepada penyebaran ilmu kesihatan serta memperkasakan kesedaran masyarakat tentang kepentingan pengurusan ubat yang selamat dan berkualiti,” katanya.







