
BAGAN DATUK – Tabika dan Tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan terus memainkan peranan penting dalam pendidikan awal kanak-kanak berusia 3 dan 4 tahun sebagai persediaan sebelum melangkah ke peringkat prasekolah dan Tahun Satu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya pengurusan prasekolah diselaraskan sepenuhnya di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dengan mewajibkan kanak-kanak berumur 5 tahun mengikuti kelas prasekolah di sekolah kebangsaan atau institusi pendidikan di bawah kementerian itu.
Menurut beliau, selaras dengan keputusan tersebut, Tabika dan Tadika KEMAS bersama prasekolah Perpaduan serta institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak berusia 3 dan 4 tahun.
“Jemaah Menteri juga memutuskan agar KEMAS dan institusi berkaitan meneruskan kelas yang sedang berjalan ketika ini dengan pelaksanaan kurikulum pacuan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Taman Industri QL Innofood Park di Hutan Melintang, di sini, pada Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, satu penyelarasan serta pengubahsuaian kurikulum perlu dilaksanakan bagi memastikan kesinambungan silibus dan mata pelajaran antara pendidikan awal di KEMAS dengan prasekolah di sekolah kebangsaan.
Ujarnya, penyelarasan itu penting bagi memastikan murid berusia 5 tahun dapat mengikuti pembelajaran prasekolah dengan lebih lancar dan tersusun.
“Persiapan akan dibuat secara teliti dan Kemas akan berperanan sebagai ‘feeder classes’ kepada murid prasekolah,” katanya.
Setakat ini, seramai 187,978 kanak-kanak berdaftar di 10,523 Tabika KEMAS di seluruh negara.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Pelan Pendidikan Malaysia yang dilaksanakan ketika ini bersifat dinamik dan relevan dengan keperluan semasa, khususnya dalam menyediakan murid berusia 6 tahun untuk memasuki Tahun Satu.
Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja mengukuhkan asas pendidikan awal kanak-kanak, malah memastikan proses peralihan ke alam persekolahan formal berjalan dengan lebih teratur dan berkesan.







