
PAUH PUTRA — Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menyambut baik pembentangan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang disifatkan sebagai langkah strategik menyelaraskan peranan universiti dengan keperluan industri dan landskap pekerjaan masa depan.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, pelan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu menunjukkan hala tuju jelas kerajaan dalam memastikan institusi pengajian tinggi kekal relevan, responsif dan berdaya saing dalam era ekonomi berasaskan teknologi.
“Penambahan kursus strategik seperti data sains, kecerdasan buatan (AI), kewangan, komunikasi, bahasa dan pengajian media membuktikan universiti kini diposisikan sebagai pemangkin pembangunan bakat yang memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan.
“Peluasan bidang pengajian berimpak tinggi itu bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah mengukuhkan peranan universiti sebagai rakan strategik industri dalam pembangunan modal insan negara.

“Usaha kerajaan memperkasa bidang teknikal melalui pendigitalan, penerapan AI secara menyeluruh serta penstrukturan semula politeknik dan kolej komuniti turut membuka laluan yang lebih fleksibel dan setara kepada pelajar untuk membina kerjaya berkemahiran tinggi,” ujarnya.
Beliau menambah, sebagai universiti teknikal, Unimap komited menterjemahkan aspirasi RPN 2026–2035 melalui pengukuhan dasar pengajaran dan pembelajaran, pemerkasaan penyelidikan serta peluasan kolaborasi strategik bersama industri dan pemegang taruh.
Katanya lagi, pendekatan itu penting bagi memastikan graduan bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi memiliki kemahiran praktikal, etika profesional dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“Unimap akan terus menyokong pelaksanaan RPN 2026–2035 dengan memberi tumpuan kepada pembangunan graduan holistik yang bersedia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan daya saing negara.
Katanya, Unimap yakin, RPN 2026–2035 akan menjadi asas kukuh dalam membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang progresif, berpaksikan industri dan berorientasikan masa hadapan.




