KUALA LUMPUR – Sekatan terhadap akses chatbox kecerdasan buatan (AI) Grok di platform media sosial X di Malaysia bukan kekal, sebaliknya bersifat sementara seperti dilakukan Indonesia dan Filipina.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan meneliti jawapan balas daripada pihak X, berikutan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah dan kandungan seksual eksplisit.
Menurutnya, sekiranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merasakan jawapan itu boleh disahkan, kerajaan akan menarik semula sekatan sementara berkenaan.
“Dalam isu X dan aplikasi Grok, ia sedikit unik memandangkan X adalah platform media sosialnya dan Grok adalah aplikasi AI yang mana dalam platform X itu terdapat akaun @Grok.
“Di sini kita berdepan keadaan agak hibrid dan dalam beberapa aplikasi pemesejan seperti WhatsApp, telah dimuat masuk oleh pihak Meta ada fungsi AI juga dalam aplikasi tersebut.
“Ini adalah ruang yang agak hibrid di mana pihak kementerian khususnya MCMC meneliti untuk memastikan dari segi aspek kawal selia, isu-isu kemudaratan dalam talian dapat ditangani dengan lebih menyeluruh,” katanya sewaktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PN Tumpat, Mumtaz Md Nawi sama ada kerajaan akan mewajibkan audit keselamatan dan penilaian risiko untuk model AI yang boleh diakses, selain adakah sekatan terhadap Grok bersifat kekal.
Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan pada masa ini platform media sosial X dikecualikan daripada dilesenkan kerana tidak mempunyai lapan juta pengguna di Malaysia
Bagaimanapun, katanya kerajaan sedang meneliti had ambang berkenaan kerana kemudaratan dalam talian tidak hanya berlaku jika jumlah penggunanya kurang daripada lapan juta.
“Sehingga kini MCMC merekodkan 17 aduan atau laporan berkaitan aplikasi Grok.
“Ia melibatkan enam aduan rasmi, dua laporan polis yang dikongsi pengadu, lapan aduan melalui penandaan media sosial dan satu laporan awal pertama yang dibuka oleh MCMC,” katanya.






