
MULU – Penubuhan AirBorneo dan pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak disifatkan sebagai langkah strategik bagi memastikan kelangsungan pengangkutan udara di negeri ini, khususnya di kawasan pedalaman.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh perkhidmatan udara demi manfaat rakyat di luar bandar.
“Pengalaman saya menaiki penerbangan AirBorneo dari Long Lellang ke Marudi dan seterusnya ke Miri hari ini jelas memperlihatkan kesungguhan kerajaan Sarawak menyediakan perkhidmatan mantap dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) bukan sekadar mod pengangkutan, sebaliknya berperanan sebagai talian hayat yang menghubungkan penduduk dengan akses kesihatan, pendidikan, ekonomi dan perkhidmatan asas.
Tambah beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, kawasan itu memiliki bilangan lapangan terbang dan Padang Terbang Pelepasan dan Pendaratan Singkat (STOLport) tertinggi di Malaysia iaitu lima buah melibatkan Mulu, Long Seridan, Long Banga, Long Lellang dan Bario.
“Keadaan ini mencerminkan keperluan tinggi terhadap perkhidmatan udara yang konsisten.
“Saya berharap AirBorneo dapat memberikan perkhidmatan terbaik, cekap dan berdaya saing kepada penduduk pedalaman dengan mengutamakan aspek keselamatan, ketepatan masa dan kebolehcapaian,” ujarnya.
Gerawat turut menyarankan agar kerajaan negeri bersama AirBorneo mengkaji cadangan penambahan kekerapan penerbangan ke kawasan pedalaman bagi memenuhi keperluan rakyat sekali gus merapatkan jurang pembangunan.




