
IPOH – Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah inisiatif Payung Rahmah, yang merupakan tambahan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi tahun 2026, mula diagihkan kepada golongan bujang bermula hari ini.
Pada tahun ini, seramai 3.1 juta penerima layak menerima SARA, merangkumi golongan bujang, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu dan bapa tunggal, balu, janda atau duda tanpa anak berusia antara 19 hingga 59 tahun, dengan bantuan diberikan sehingga 31 Disember ini.
Seorang ibu tunggal, Asliza Othman, 50-an, meluahkan rasa syukur kerana masih berpeluang menerima bantuan berkenaan yang disifatkan amat bermakna dalam menampung keperluan harian.
“Walaupun hanya RM100, namun bagi saya ia cukup besar nilainya. Bantuan ini sangat membantu menyara diri dan meringankan perbelanjaan keperluan asas setiap bulan,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press (TMP), di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, seorang lagi ibu tunggal, Norhayati Alang Kamarudin, 43, berkata, SARA bersama STR, banyak membantu dalam mengurus perbelanjaan keluarga kecilnya.
“Terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana terus meneruskan pemberian SARA. Nilai RM100 mungkin kecil bagi sesetengah pihak, namun bagi saya sebagai ketua keluarga, ia sangat membantu.
“Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diberikan turut meringankan beban kewangan yang ditanggung,” katanya.

Bagi golongan bujang, Mohammad Afiq Ikhwan Arshad, 25, berkata, bantuan SARA membantunya mengurus perbelanjaan asas, khususnya kerana hidup berjauhan daripada keluarga.
“Syukur tahun ini saya masih layak menerima SARA. Terima kasih PMX dan Kerajaan MADANI. Sebagai bujang yang hidup di perantauan, bantuan ini sangat bermanfaat.
“Kami golongan bujang juga memerlukan sokongan bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Pelaksanaan bantuan SARA dilihat mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan rakyat, termasuk golongan bujang, terus terbela sejajar dengan realiti kos sara hidup semasa.








