
MIRI – Seramai 500 murid daripada golongan asnaf di daerah ini menerima khabar gembira apabila terpilih menerima sumbangan dana Zakat i-Asnaf daripada Petronas Carigali Sdn Bhd.
Sumbangan menerusi Badan Asy Syakirin Petronas (BAKIP) itu bertujuan meringankan beban kewangan keluarga serta menyuntik semangat murid untuk terus cemerlang dalam pendidikan.
Simbolik penyerahan sumbangan tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Miri, Wisma Persekutuan pada Rabu.
Menurut kenyataan BAKIP, inisiatif tersebut melibatkan murid dari sembilan buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Anchi, SK Temenggong Datuk Muip, SK Merbau, SK Riam Batu 2, SK South, SK Pulau Melayu, SK Lambir Village, SK Kuala Baram 2 dan SK St. Columba.
“Petronas Carigali menerusi BAKIP terus komited melaksana tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi tumpuan khusus kepada aspek kebajikan dan pembangunan pendidikan golongan memerlukan,” jelas kenyataan itu.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi BAKIP, Suif Alias; Penasihat Agama BAKIP, Ustaz Mohd Zulfadli Khalip; Timbalan Setiausaha BAKIP, Sazariema Fateen Jaraee serta Ahli Jawatankuasa Teknikal dan Publisiti BAKIP, Mohd Solihin Suria.
Foto : Facebook Pejabat Daerah Miri





