Pas sepatutnya ‘terbubar sendiri’ berdasarkan wasiat Allahyarham Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – UMNO menganggap kenyataan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa ‘jika suatu hari nanti UMNO meletakkan Islam sebagai asas dalam Perlembagaannya, Pas akan dibubarkan’ sebagai wasiat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, atas wasiat tersebut, beliau meminda Perlembagaan UMNO dengan meletakkan asas Islam di dalamnya, sebaik sahaja mengambil alih tampuk kepemimpinan parti.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO banyak berjasa dalam memartabatkan Islam melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Ada rakan daripada PKR dan Amanah hadir di sini apabila Allahyarham Nik Aziz menyebut UMNO jika satu ketika nanti meletakkan asas Islam dalam Perlembagaannya, dalam Perlembagaan UMNO, Pas akan dibubarkan.

“Saya anggap itu sebagai wasiat. Apabila saya mengambil alih kepimpinan UMNO, perkara utama saya lakukan adalah meletakkan soal Islam dalam Perlembagaan UMNO.

“Tapi Pas belum terbubar lagilah, saya harap akan terbubar dengar sendirinya,” katanya dalam nada berseloroh ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Selasa.

Ahmad Zahid menegaskan, UMNO tidak pernah menolak Islam, jauh sekali berniat untuk mengeksploitasinya.

“Bagi UMNO, Islam ialah panduan kenegaraan, bukannya untuk modal politik. Islam dibina melalui dasar dan institusi, bukan slogan retorik.

“Islam telah dimartabatkan melalui Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan manakala peranan Raja-Raja Melayu sebagai payung agama diperkukuhkan dalam Perkara 38. Inilah jasa besar UMNO yang jangan sesekali kita lupakan,” katanya.

Pada 2008, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ketika itu, dilapor mencadangkan UMNO dan Pas dibubar dengan menubuhkan parti baharu berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung semua pihak termasuk bukan Islam.

Mursyidul Am Pas itu dilapor berkata, Islam menepati semua matlamat perjuangan termasuk politik dan perlu dijadikan asas kepada perjuangan mana-mana parti politik yang inginkan perjuangan sebenar.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO bersedia mengundang Pas untuk bergabung dalam sebuah organisasi yang memfokuskan agenda Islam, di luar lingkungan politik seperti Multaqa Ilmuwan Islam.

Beliau berkata, pengumuman berhubung organisasi itu bagaimanapun akan dibuat pada hari terakhir persidangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Kita akan melakukannya pada hari terakhir PAU, saya akan mengumumkan sesuatu iaitu sebuah organisasi di luar lingkungan politik.

“Saya cadangkan kita menubuhkannya dan Kabinet juga sudah meluluskannya, maka saya akan umumkan,” katanya.

Penubuhan Majlis Ulama UMNO pada 2018, kata Ahmad Zahid, adalah usaha parti mengenepikan soal ideologi politik.

“Apabila bercakap mengenai soal agama, kita mesti melakukan penyatuan fitrah dan pemikiran atau tindakan.

“Ini yang kita lakukan dan berhasrat untuk bersikap terbuka mengenainya,” katanya.

Related Posts

Penjawat awam diingatkan tidak sambil lewa, terus tingkat keberkesanan – PM

PUTRAJAYA – Penjawat awam diingatkan supaya tidak bekerja sambil lewa atau berasa selesa dengan pencapaian yang telah diperoleh kerajaan pada ketika ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Keharmonian muafakat Jemaah Menteri di tahap baik – PMX

PUTRAJAYA – Kerjasama dan muafakat dalam kalangan anggota Jemaah Menteri secara keseluruhannya masih berada pada tahap baik biarpun wujud pelbagai dakwaan terutama di media sosial. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Guna mata pukat kurang 38 milimeter, vesel pukat tunda ditahan

Guna mata pukat kurang 38 milimeter, vesel pukat tunda ditahan

Penjawat awam diingatkan tidak sambil lewa, terus tingkat keberkesanan – PM

Penjawat awam diingatkan tidak sambil lewa, terus tingkat keberkesanan – PM

SWCS rayu KPDN pertimbang kelayakan subsidi bahan api kenderaan kebajikan

SWCS rayu KPDN pertimbang kelayakan subsidi bahan api kenderaan kebajikan

Keharmonian muafakat Jemaah Menteri di tahap baik – PMX

Keharmonian muafakat Jemaah Menteri di tahap baik – PMX

RM454 juta memang rekod, tetapi jangan hilangkan RM1.9 bilion daripada cerita

RM454 juta memang rekod, tetapi jangan hilangkan RM1.9 bilion daripada cerita

Malaysia atasi banyak negara maju, ketiga terbaik dunia untuk didiami pada 2026

Malaysia atasi banyak negara maju, ketiga terbaik dunia untuk didiami pada 2026