
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) menyatakan sokongan serta keterbukaan terhadap sebarang bentuk pemindahan teknologi dari luar negara, khususnya China, sebagai langkah strategik bagi memperkukuh pembangunan sektor itu.
James berkata, kementerian menyambut baik kerjasama strategik yang berpotensi dilaksanakan antara kedua-dua pihak, khususnya inisiatif yang melibatkan pemindahan teknologi, pembangunan kepakaran tempatan serta penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), selaras dengan agenda pembangunan.
“Kementerian yakin kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta ini mampu membuka lebih banyak peluang dalam bidang pendidikan, sains, teknologi dan inovasi, seterusnya menyumbang kepada pembangunan modal insan serta kemajuan Sabah secara mampan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Sabah-China Chamber of Commerce yang melibatkan seramai 14 orang delegasi, diketuai oleh Presidennya, Datuk Frankie Liew, bersama Timbalan Presiden, Brett Chua di Pejabat KPSTI, di sini pada Jumaat.
Katanya, inovasi merupakan kuasa penggerak utama dalam pembangunan Sabah dan berharap agar Sabah-China Chamber of Commerce dapat terus berperanan aktif membantu serta mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri dalam memperkenalkan teknologi canggih dari China ke Sabah.
“Hubungan strategik yang kukuh antara Sabah-China Chamber of Commerce dan pihak industri di China merupakan satu kelebihan yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya.
“Pengerusi, Datuk Frankie Liew, mempunyai hubungan yang erat dengan syarikat-syarikat di China dan hubungan ini amat penting dalam membuka peluang kerjasama teknologi, pelaburan serta pembangunan kepakaran di Sabah,” ujarnya.
Beliau juga mengalu-alukan inisiatif, teknologi dan kepakaran dari luar negara khususnya dari China dalam memperkasakan industri teknologi serta latihan kemahiran di Sabah, termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Sabah-China Chamber of Commerce, Brett Chua berkata, bahawa China mempunyai beberapa teknologi berkaitan latihan TVET yang berpotensi untuk dikongsikan.
Namun begitu, Sabah ketika ini masih belum mempunyai platform yang sesuai untuk menerima dan melaksanakan teknologi tersebut sepenuhnya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan lawatan ini sebagai satu titik permulaan yang penting ke arah merealisasikan kerjasama strategik dalam bidang TVET antara kedua-dua pihak.





