
LIMBANG – Keadaan banjir di beberapa kawasan berisiko di daerah ini dilaporkan masih terkawal meskipun berlaku peningkatan paras air di kawasan rendah dan jalan utama susulan keadaan cuaca semasa.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Leftenan (PA) Jumaat Akasas berkata, hasil pemantauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati paras air sungai di enam kampung terlibat menunjukkan trend penurunan dan berada pada tahap normal.
Menurutnya, kawasan yang dipantau melibatkan Kampung Kuala Awang, Kampung Ipai, Kampung Lubok Sigantang, Kampung Lubok Piasau, Kampung Pandam dan Kampung Sangkarai.
“Di Kampung Kuala Awang, paras air setinggi 0.12 meter dikesan melimpah di jalan utama, namun laluan tersebut masih boleh dilalui oleh kenderaan.
“Bagi Kampung Ipai, air dilaporkan naik di kawasan rendah tetapi keadaan masih terkawal, manakala Kampung Lubok Sigantang dan Kampung Lubok Piasau masing-masing mencatatkan kenaikan air setinggi 0.36 meter dan 0.42 meter di kawasan rendah,” katanya.
Tambah beliau, paras air di jalan utama Kampung Pandam direkodkan sekitar 0.41 meter dan masih boleh dilalui kenderaan, manakala Kampung Sangkarai kekal dalam keadaan selamat.
Sehubungan itu, Jumaat menegaskan bahawa anggota APM Limbang akan meneruskan pemantauan berkala di lokasi berisiko dan sentiasa bersiap siaga untuk bertindak sekiranya berlaku sebarang perubahan situasi.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama,” ujarnya.





