
KUCHING – Sarawak menyuarakan sokongan penuh terhadap cadangan perluasan projek landasan kereta api ‘Trans-Borneo Railway’ melintasi sempadan hingga ke wilayah Kalimantan, Indonesia.
Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Dr Abdullah Zulkifli berkata, langkah strategik itu dilihat mampu memacu hubungan ekonomi, merancakkan aktiviti perdagangan serta memudahkan mobiliti penduduk di seluruh kepulauan Borneo.
Menurutnya, perkara itu disuarakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa pertemuan mereka, yang mahu melihat jaringan pengangkutan tersebut diperluaskan demi manfaat bersama.
“Premier Sarawak menggalakkan agar jaringan konektiviti ‘Trans-Borneo Railway’ ini dipanjangkan ke wilayah Kalimantan.
“Ini merupakan peluang terbaik untuk mempererat kerjasama antara Sarawak dengan Kalimantan, sekali gus menjadikan Borneo sebagai hab pembangunan ekonomi dan perdagangan yang menguntungkan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Kompleks Satria Pertiwi pada Jumaat.
Pertemuan itu merupakan kunjungan rasmi pertama Abdullah sejak memegang jawatan tersebut pada Oktober tahun lalu.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, tumpuan utamanya ketika ini adalah untuk mempertingkatkan aspek kesalinghubungan khususnya menjelang penganjuran Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Kuching untuk acara perasmian.
“Hubungan antara Kuching dengan Pontianak sedia terjalin erat memandangkan kedudukannya yang berhampiran.
“Justeru, kita menjangkakan peningkatan kehadiran pengunjung dari Indonesia ke Sarawak bagi menyaksikan temasya sukan itu nanti, selain Sukan Borneo yang dijadualkan berlangsung di Kalimantan Timur pada tahun yang sama,” jelasnya.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)





