
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan sasaran perdagangan dua hala sebanyak AS$10 bilion (AS$1 = RM4.05) antara Malaysia dan Turkiye mampu dicapai, berikutan kekuatan ekonomi yang dimiliki kedua-dua negara.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, Turkiye mempunyai ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan. Malaysia pula walaupun bersaiz lebih kecil, mencatat pertumbuhan pesat serta muncul sebagai destinasi menarik bagi pelaburan bernilai tinggi, khususnya dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan, pusat data dan teknologi baharu termasuk industri nadir bumi.
“Saya berpendapat kerjasama ini akan lebih bermakna bukan sahaja dari segi tahap perdagangan tradisional, tetapi juga dalam disiplin baharu yang akan diperkukuhkan menerusi kerjasama pendidikan dan penyelidikan antara kedua-dua negara.
“Itulah sebabnya mekanisme yang diperlukan harus dirangka,” katanya dalam kenyataan media bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu hari ini.
Beliau berkata Malaysia turut memperoleh manfaat besar daripada pengaturan perolehan kerajaan ke kerajaan yang melibatkan industri pertahanan Turkiye, khususnya dalam sektor tentera laut dan aeroangkasa, sambil menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai satu kelebihan utama kepada negara.
Menurut Anwar, kerjasama sedemikian mencerminkan model perkongsian baharu yang berteraskan prinsip tadbir urus baik dan ketelusan.
Skop kerjasama dua hala itu, katanya, akan terus diperluaskan merangkumi industri halal dan kewangan Islam, yang dilihat mempunyai potensi besar untuk diterokai dan dimajukan bersama oleh kedua-dua negara.
Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye bagi tempoh Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (AS$4.92 bilion), sekali gus menegaskan kepentingan berterusan Turkiye sebagai rakan kongsi ekonomi utama Malaysia.
Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, selain menjadi destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion).








