
JABATAN Peguam Negara (AGC) memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) akan diambil terhadap 47 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan.
Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara hari ini, keputusan tersebut sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan selaras dengan kuasa dan budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang berkaitan.
“Jabatan ini menegaskan bahawa keputusan yang diambil adalah berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang.
“Ia dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan untuk memastikan kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah,” kata kenyataan itu.
AGC turut memaklumkan bahawa pihaknya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadap Ahmad Zahid.
“Penelitian ini dibuat dengan turut mempertimbangkan perkara-perkara seperti skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan yang difailkan.
“Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian, dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, AGC menjelaskan bahawa penelitian turut melibatkan langkah-langkah siasatan lanjut dan terperinci yang kemudiannya dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melengkapkan serta memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu kes berkenaan.
Siasatan lanjut tersebut meliputi dapatan hasil siasatan yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 telah melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Berikutan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) itu, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh SPRM yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.








