
YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini menyeru seluruh penjawat awam agar sentiasa mengamalkan integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat serta negara.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa penjawat awam merupakan tunjang utama pentadbiran negara dan memainkan peranan penting dalam memastikan dasar serta perancangan kerajaan dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
Baginda turut menekankan kepentingan pembudayaan nilai kerja berteraskan kejujuran, ketelusan dan kecekapan dalam perkhidmatan awam. Dalam hal ini, Baginda menzahirkan penolakan tegas terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi awam.
Titah nasihat tersebut dizahirkan ketika Baginda berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, di Istana Bukit Tunku, di sini, hari ini.
Pada pertemuan berkenaan, Sultan Ibrahim turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai isu semasa perkhidmatan awam, termasuk usaha memperkasa tatakelola serta pengukuhan sistem tadbir urus negara.
Sementara itu, menerusi satu hantaran berasingan, dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia, Datuk Ibrahim Darus, yang berlangsung di lokasi sama, hari ini.








