
KUCHING – Sarawak menggesa penstrukturan semula Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) sebagai langkah segera menangani cabaran dalam sektor kesihatan, sekali gus mengelak kelewatan pentadbiran yang berulang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, cadangan itu bertujuan meningkatkan keberkesanan perbincangan teknikal dengan melibatkan secara terus wakil kanan daripada Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai pembuat keputusan utama.
Menurutnya, struktur sedia ada menyebabkan isu berkaitan kesihatan sering ditangguhkan apabila tanggungjawab dipindahkan antara agensi tanpa mencapai jalan penyelesaian tuntas.
“Apabila isu kesihatan dibincangkan, ia sering berakhir dengan rujukan kepada JPA, EPU atau MOF.
“Mesyuarat diadakan berulang kali, namun keputusan masih sukar dicapai kerana pemegang taruh utama tidak duduk di meja rundingan yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan majlis penyerahan peralatan perubatan asas di Klinik Kesihatan Batu Kawa, pada Rabu.
Sehubungan itu, Dr Sim memberitahu, Sarawak mencadangkan agar jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof sebagai satu platform peringkat tinggi di bawah MTPMA63.
Jelasnya, ia penting khususnya bagi menangani isu berkaitan autonomi kesihatan dan pelaksanaan dasar secara lebih tuntas.
Tambahnya, penstrukturan semula itu juga kritikal bagi membolehkan Sarawak merangka pelan hala tuju yang jelas bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja kesihatan, termasuk di Hospital Umum Sarawak.
“Kekurangan doktor dan jururawat tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat kerana kita tidak boleh melahirkan ribuan petugas kesihatan secara tiba-tiba.
“Apa yang diperlukan adalah perancangan berfasa, latihan berstruktur dan kesinambungan dasar tidak kira siapa yang memimpin,” ujarnya.


