
KUCHING – Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) terus mempergiat usaha memperkukuh sistem kesihatan awam menerusi sumbangan pelbagai kemudahan perubatan asas kepada Klinik Kesihatan Batu Kawa.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, inisiatif tersebut merupakan manifestasi kerjasama strategik yang berkesan antara sektor korporat dengan kerajaan negeri dalam meningkatkan kualiti serta akses perkhidmatan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Sumbangan peralatan perubatan oleh Petronas ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen sebenar bahawa setiap pihak mampu menyumbang dalam memperkukuh sistem kesihatan awam mengikut kemampuan masing-masing.
“Sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan adalah asas kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan menyeluruh sesebuah negeri,” katanya semasa menyaksikan majlis penyerahan kemudahan tersebut di klinik berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak menegaskan, sektor kesihatan dan pendidikan adalah teras utama pembangunan Sarawak yang memerlukan pendekatan kolaboratif berterusan.
Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Sarawak, Norazibah Md Rabu berkata, sumbangan itu selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memastikan kesaksamaan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan berkualiti.
Jelasnya, antara peralatan yang disumbangkan ialah mesin ultrasound, MacroView Plus Otoscope, vascular doppler, alat pemantauan tekanan darah serta kelengkapan bukan perubatan bagi menyokong operasi harian klinik.
“Kerjasama Petronas bersama Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak sejak 2023 ini telah memberi manfaat kepada 17 klinik kesihatan luar bandar.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 26 klinik dikenal pasti menerima bantuan melibatkan peruntukan kira-kira RM1.3 juta di seluruh Sarawak,” ujarnya.
Tambahnya, inisiatif berimpak tinggi itu turut menyokong pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) dalam usaha membangunkan sistem kesihatan negeri yang inklusif dan mampan.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)


