PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan yang tular di dalam media sosial kononnya Klinik Kesihatan tidak akan menerima pesakit walk-in (tanpa janji temu) sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.
KKM menerusi kenyataan memaklumkan, walaupun sistem janji temu adalah kaedah utama, ruang untuk pesakit walk-in tetap disediakan, khususnya bagi kes kecemasan, warga emas dan golongan yang mempunyai kekangan akses teknologi.
“Pesakit tanpa janji temu tetap dilayan, namun perlu melalui proses penilaian (triage) terlebih dahulu.
“Pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang telah ditetapkan,” katanya, pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, KKM memahami akses teknologi adalah berbeza bagi setiap individu.
“Oleh itu, perkhidmatan walk-in tetap diteruskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses rawatan yang adil dan saksama,” katanya.
Terdahulu, tular di dalam media sosial kononnya semua Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit walk-in bermula bulan ini dan janji temu hanya akan menggunakan sistem MySejahtera.




