
Oleh: Nurul Ashikin Baharum
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pemakaian tali leher oleh pelajar sekolah tidak lagi diwajibkan bermula sesi persekolahan tahun 2026. Ketetapan ini adalah selaras dengan kenyataan dan surat rasmi yang dikeluarkan KPM. Ia bertujuan menambah baik aspek kebajikan dan keselesaan murid di sekolah.
Menurut KPM, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor penting, antaranya keadaan iklim Malaysia yang panas dan lembap, keselesaan murid sepanjang waktu pembelajaran, serta usaha untuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan pakaian seragam sekolah.
Walau bagaimanapun, KPM menegaskan pemakaian tali leher masih dibenarkan secara pilihan, tertakluk kepada persetujuan pihak sekolah dan ibu bapa. Pihak sekolah tidak dibenarkan untuk mewajibkan pemakaian tali leher atau mengenakan sebarang tindakan ke atas pelajar yang tidak memakainya.
Langkah ini mencerminkan pendekatan KPM yang fleksibel dan prihatin terhadap keperluan semasa murid, tanpa menjejaskan aspek disiplin, keterampilan dan identiti sekolah.






