
PUTRAJAYA – Keperluan untuk siasatan awam secara bebas dan menyeluruh dilaksanakan terhadap dakwaan tawaran rasuah berjumlah RM50 juta bagi menggugurkan peruntukan Generasi Penamat (GEG) daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.
Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Profesor Dr M. Murallitharan berkata, walaupun dakwaan itu menyatakan tawaran berkenaan telah ditolak, pendedahan tersebut tetap menimbulkan persoalan besar dari sudut kedaulatan undang-undang, integriti pentadbiran awam serta kewajipan undang-undang semua pemegang jawatan awam.
“MCTC memandang serius pendedahan terbaharu seorang pegawai kepada mantan Menteri Kesihatan yang mendakwa wujud tawaran imbuhan kewangan bagi mempengaruhi penggubalan undang-undang berkaitan GEG.
“Cubaan menawarkan imbuhan kewangan untuk mempengaruhi penggubalan undang-undang adalah satu tindakan rasuah dan merupakan jenayah serius di bawah undang-undang negara.
“Lebih membimbangkan, kegagalan melaporkan cubaan rasuah walaupun ditolak berpotensi menjadi suatu kesalahan, seperti yang turut ditegaskan oleh mantan Menteri Kesihatan sendiri,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dr Murallitharan menegaskan, isu berkenaan bukan bersifat politik sebaliknya melibatkan soal undang-undang dan integriti negara yang menyentuh secara langsung prinsip Kedaulatan Undang-Undang seperti termaktub dalam Rukun Negara.
Menurut beliau, pendedahan terbaharu itu turut mengukuhkan laporan sebelum ini mengenai dakwaan campur tangan industri vape dalam mempengaruhi Ahli Parlimen sehingga menyebabkan peruntukan GEG digugurkan.

“Gabungan fakta ini menunjukkan satu corak campur tangan industri yang sistemik dan terancang dalam proses penggubalan dasar kesihatan awam negara. Ia bukan lagi isu persepsi, sebaliknya kepentingan awam yang menuntut siasatan menyeluruh dan telus
“Sehubungan itu, MCTC menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan awam bebas bagi mengenal pasti pihak yang menawarkan imbuhan, saluran dan kaedah tawaran dibuat, sebab kegagalan laporan dikemukakan serta tahap pengaruh industri terhadap proses legislatif,” katanya.
Sementara itu, Dr Murallitharan menegaskan, pihaknya turut menuntut pendedahan penuh kepada rakyat mengenai hasil siasatan selaras dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Katanya, perkembangan isu berkenaan membuktikan keperluan mendesak terhadap reformasi sistemik termasuk penggubalan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik bagi memastikan ketelusan sumbangan politik dan melarang sumbangan daripada industri yang bercanggah dengan kepentingan awam.
“Kita turut menggesa kerajaan menggubal serta menguatkuasakan kod tatakelola selaras Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC) bagi melindungi dasar kesihatan awam daripada campur tangan industri tembakau dan vape.
“Isu ini bukan sekadar melibatkan individu, sebaliknya menjadi ujian terhadap keberanian negara menegakkan undang-undang, kejujuran sistem politik serta komitmen Malaysia terhadap kesihatan awam dan generasi masa depan,” katanya





