Dakwaan rasuah RM50 juta gugur GEG perlu disiasat secara telus – MCTC

PUTRAJAYA – Keperluan untuk siasatan awam secara bebas dan menyeluruh dilaksanakan terhadap dakwaan tawaran rasuah berjumlah RM50 juta bagi menggugurkan peruntukan Generasi Penamat (GEG) daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.

Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Profesor Dr M. Murallitharan berkata, walaupun dakwaan itu menyatakan tawaran berkenaan telah ditolak, pendedahan tersebut tetap menimbulkan persoalan besar dari sudut kedaulatan undang-undang, integriti pentadbiran awam serta kewajipan undang-undang semua pemegang jawatan awam.

“MCTC memandang serius pendedahan terbaharu seorang pegawai kepada mantan Menteri Kesihatan yang mendakwa wujud tawaran imbuhan kewangan bagi mempengaruhi penggubalan undang-undang berkaitan GEG.

“Cubaan menawarkan imbuhan kewangan untuk mempengaruhi penggubalan undang-undang adalah satu tindakan rasuah dan merupakan jenayah serius di bawah undang-undang negara.

“Lebih membimbangkan, kegagalan melaporkan cubaan rasuah walaupun ditolak berpotensi menjadi suatu kesalahan, seperti yang turut ditegaskan oleh mantan Menteri Kesihatan sendiri,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Murallitharan menegaskan, isu berkenaan bukan bersifat politik sebaliknya melibatkan soal undang-undang dan integriti negara yang menyentuh secara langsung prinsip Kedaulatan Undang-Undang seperti termaktub dalam Rukun Negara.

Menurut beliau, pendedahan terbaharu itu turut mengukuhkan laporan sebelum ini mengenai dakwaan campur tangan industri vape dalam mempengaruhi Ahli Parlimen sehingga menyebabkan peruntukan GEG digugurkan.

“Gabungan fakta ini menunjukkan satu corak campur tangan industri yang sistemik dan terancang dalam proses penggubalan dasar kesihatan awam negara. Ia bukan lagi isu persepsi, sebaliknya kepentingan awam yang menuntut siasatan menyeluruh dan telus

“Sehubungan itu, MCTC menggesa pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan awam bebas bagi mengenal pasti pihak yang menawarkan imbuhan, saluran dan kaedah tawaran dibuat, sebab kegagalan laporan dikemukakan serta tahap pengaruh industri terhadap proses legislatif,” katanya.

Sementara itu, Dr Murallitharan menegaskan, pihaknya turut menuntut pendedahan penuh kepada rakyat mengenai hasil siasatan selaras dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

Katanya, perkembangan isu berkenaan membuktikan keperluan mendesak terhadap reformasi sistemik termasuk penggubalan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik bagi memastikan ketelusan sumbangan politik dan melarang sumbangan daripada industri yang bercanggah dengan kepentingan awam.

“Kita turut menggesa kerajaan menggubal serta menguatkuasakan kod tatakelola selaras Artikel 5.3 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC) bagi melindungi dasar kesihatan awam daripada campur tangan industri tembakau dan vape.

“Isu ini bukan sekadar melibatkan individu, sebaliknya menjadi ujian terhadap keberanian negara menegakkan undang-undang, kejujuran sistem politik serta komitmen Malaysia terhadap kesihatan awam dan generasi masa depan,” katanya

Related Posts

Isu Rohingya: KP JKOM tinjau kawasan di Selayang teliti keluhan rakyat

SELAYANG – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali mengadakan tinjauan sulung ke beberapa kawasan di Selayang yang mempunyai premis dan penempatan komuniti Rohingya bagi mendapatkan gambaran sebenar…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Perubahan berkesan bukan yang paling viral tapi bermanfaat buat rakyat

SEJAK kebelakangan ini, muncul suara-suara sinis yang mendakwa kerajaan hari ini tidak membawa perubahan besar kepada rakyat. Ada yang mengatakan semua pengumuman hanyalah kosmetik. Ada yang mendakwa kehidupan rakyat tetap…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Isu Rohingya: KP JKOM tinjau kawasan di Selayang teliti keluhan rakyat

Isu Rohingya: KP JKOM tinjau kawasan di Selayang teliti keluhan rakyat

Pas belum maafkan Bersatu, krisis Perlis terus hantui PN

Pas belum maafkan Bersatu, krisis Perlis terus hantui PN

Perubahan berkesan bukan yang paling viral tapi bermanfaat buat rakyat

Perubahan berkesan bukan yang paling viral tapi bermanfaat buat rakyat

MBI tawar diskaun 50 peratus kompaun, parkir dan bot percuma sempena ulang tahun Bandar Raya Ipoh ke-38

MBI tawar diskaun 50 peratus kompaun, parkir dan bot percuma sempena ulang tahun Bandar Raya Ipoh ke-38

MCMC arah CelcomDigi tingkat kualiti liputan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Tinagat, Tawau segera

MCMC arah CelcomDigi tingkat kualiti liputan perkhidmatan telekomunikasi di Kampung Tinagat, Tawau segera

Isu Dialog Datuk Bandar Sedunia di China: Amy Tnay perjelas status kehadiran

Isu Dialog Datuk Bandar Sedunia di China: Amy Tnay perjelas status kehadiran