
PENAMPANG – Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick menyuarakan keperluan bagi menambah baik kemudahan serta infrastruktur sukan di daerah ini bagi memastikan latihan dapat dijalankan dalam persekitaran yang lebih kondusif.
Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, perkara itu dizahirkan susulan maklum balas daripada jurulatih dan pengurus beberapa sukan antaranya karate, taekwondo, bola keranjang dan badminton mengenai kekurangan kemudahan latihan yang sesuai.
“Ketiadaan Dewan Masyarakat yang selamat dan berfungsi juga menyukarkan sesi latihan terutama bagi sukan tertentu.
“Apabila kemudahan sukan ini dapat dipertingkatkan, saya percaya Penampang akan lebih bersedia untuk menjadi tuan rumah SAGA atau kejohanan sukan lain pada masa akan datang,” katanya pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Insentif Kontinjen Daerah Penampang SAGA XI Tawau 2025 di Buchanan Square, Donggongon, di sini, pada Selasa.

Ahli Parlimen Penampang itu juga akan membawa perkara tersebut ke peringkat perbincangan tindakan daerah untuk perhatian lanjut.
Mengenai insentif itu, para atlet yang membawa pulang pingat emas diberikan RM1,000 manakala RM700 bagi setiap pingat perak dan RM500 bagi setiap pingat gangsa yang disumbangkan para pemimpin kawasan Parlimen Penampang dan disalurkan melalui Majlis Perbandaran Penampang.
“Saya berharap insentif ini dapat terus membakar semangat para atlet, jurulatih dan pengurus untuk terus mengharumkan nama Penampang.
“Kejayaan kutipan pingat itu juga menjadi motivasi kepada pasukan-pasukan lain yang akan menyertai kejohanan sukan pada masa akan datang termasuk penganjuran SAGA seterusnya yang dijadualkan berlangsung di Sandakan,” katanya.
Terdahulu, pada kejohanan SAGA di Tawau, pasukan Penampang berjaya meraih sebanyak 45 pingat dari pelbagai acara.






