
BANJIR sudah surut, lumpur sudah dibersihkan, tetapi kerajaan negeri Perlis nampaknya masih terperangkap dalam kekeruhan politiknya sendiri.
Di saat rakyat mahu nafas lega dan hala tuju pemulihan yang jelas, yang muncul ialah spekulasi demi spekulasi bahawa Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli kehilangan sokongan majoriti wakil rakyat.
Ini bukan bisik kedai kopi. Ini cerita yang berlegar di portal nasional, disokong dakwaan penyerahan akuan bersumpah kepada istana.
Jika benar lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah berpaling, maka kerajaan negeri hari ini berdiri atas tapak yang rapuh. Retak kecil di dinding kuasa, lama-lama boleh runtuh.
Lebih memalukan, kekalutan ini datang ketika kerajaan sepatutnya memimpin pasca bencana. Soal banjir belum selesai sepenuhnya, bantuan masih ditagih rakyat, tetapi tumpuan pentadbiran dilihat terseret ke bilik mesyuarat tertutup dan permainan nombor.
Rakyat menunggu kepastian yang masih senyap. Ironinya, hanya dua hari sebelum spekulasi ini meletup, seruan ‘sokongan tidak berbelah bahagi’ dikongsi secara terbuka.
Bila seruan sebegitu terpaksa diulang, itu tanda ada yang tidak kena. Kerajaan yang kukuh tidak perlu memujuk kesetiaan melalui Facebook. Kesetiaan lahir daripada keyakinan, bukan surat seru sokongan.
Kemudian datang pula berita dari Kuala Lumpur, kononnya MB dikejarkan kerana sakit dada. Simpati wajar diberi. Andai benar apa yang berlaku, berat untuk terima penolakan sahabat sendiri.
Pada hari yang sama, timbul laporan mendakwa lebih separuh ADUN menarik sokongan. Kebetulan yang terlalu berat untuk diabaikan.
Isu sebenar bukan sekadar siapa tandatangan akuan bersumpah, masalahnya ialah kegagalan kerajaan negeri membina konsensus dalaman.
Gabungan yang menang besar kini bergelut mengurus perbezaan sendiri. Jika benar ada usaha menukar MB dari dalam, itu petanda kepimpinan sedia ada gagal menyatukan barisan atau ada pengkhianatan dari dalam yang merobek keyakinan saf di belakangnya.
Kerajaan negeri hari ini kelihatan sibuk mempertahankan kerusi, bukan mengemudi negeri. Rakyat melihat elit politik berbalas isyarat, sedangkan kos sara hidup, pemulihan banjir dan peluang ekonomi terus menekan.
Dalam politik, persepsi ialah realiti. Dan persepsi yang terbina sekarang ialah kerajaan yang semakin hilang arah.
Jika MB masih punya sokongan, buktikan dengan ketelusan dan kenyataan rasmi, bukan dengan menutup pintu dan menunggu ribut reda.
Jika sokongan sudah hilang, jangan jadikan rakyat tebusan kepada keegoan kuasa. Institusi ada jalannya, undang-undang tubuh atau perlembagaan ada kaedahnya.
Perlis negeri kecil. Setiap goncangan terasa kuat. Kerajaan negeri sepatutnya menjadi tembok yang menahan angin, bukan layar koyak yang dipukul spekulasi.
Selagi isu sokongan ini tidak dijelaskan secara tuntas, selagi itulah kerajaan akan terus dilihat lemah, goyah, dan gagal membaca denyut rakyat.







