PAKATAN Harapan (PH) akan terus menumpukan usaha memperkukuh jentera dan organisasi parti menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), tanpa bergantung kepada kelemahan atau masalah yang dihadapi pihak lawan.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pendekatan tersebut selaras dengan pendirian pimpinan gabungan yang mahu kekuatan parti dibina berasaskan kemampuan sendiri.
“Lemahnya musuh tak bererti kuatnya kita. Jadi arahan daripada pimpinan adalah jentera dan pasukan dalam kalangan Pakatan Harapan mesti kuat sendiri.
“Itu falsafah yang kita pegang dan semestinya kita akan menilai dinamika politik dari semasa ke semasa. Tapi asasnya masih Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program AI@NADI di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seri Menanti, Balai Raya Kampung Terachi, Tanjung Ipoh, hari ini.
Mengulas perkembangan politik semasa menjelang PRN, Fahmi berkata, PH sentiasa memantau perubahan landskap politik, namun fokus utama kekal kepada usaha memperkukuh kesiapsiagaan parti dan mendekati pengundi.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Penerangan PKR menegaskan bahawa jentera penerangan perlu menyesuaikan pendekatan kempen dengan perubahan corak penyampaian maklumat yang semakin dipengaruhi teknologi digital dan media sosial.
Menurutnya, kemampuan berinteraksi dengan pengundi melalui pelbagai platform komunikasi menjadi antara faktor penting dalam memastikan mesej parti dapat disampaikan dengan berkesan.
“Bukan hanya melalui media massa tapi media sosial. Jadi mereka perlu mempunyai keupayaan mendampingi para pengundi yang mendapat maklumat bukan hanya bersemuka tapi dalam platform-platform yang baharu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa proses rundingan pembahagian kerusi antara parti-parti komponen PH bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan telah selesai dilaksanakan.
Katanya, perhatian kini tertumpu kepada proses pemilihan dan penapisan calon yang bakal mewakili gabungan tersebut dalam pilihan raya berkenaan.
Fahmi menjangkakan senarai calon PH akan diumumkan dalam masa terdekat, kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos depan sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan, manakala penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.
DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan pilihan raya negeri itu.






