
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) komited memperkukuh pembangunan perumahan rakyat, pengurusan sisa pepejal moden serta kelestarian bandar dan daerah demi kesejahteraan rakyat.
Menterinya, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, hala tuju kementeriannya tertumpu kepada pembangunan yang terancang, berfokuskan rakyat dan selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0.
Katanya, antara yang diberi keutamaan adalah meneruskan pelaksanaan Program Residensi Rakyat (PRR) yang telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), termasuk pembinaan PRR Kuala Penyu menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Selain itu, kementerian turut mengemukakan beberapa cadangan tapak baharu kepada KPKT untuk disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan keperluan perumahan rakyat terus diberi keutamaan.
“KKTP akan memperkenalkan Sistem E-Pelesenan Perumahan Swasta (E-PPS) bagi memudahkan proses permohonan serta pembaharuan lesen pemaju secara digital,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi Penggulungan Mesyuarat Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah yang Ke-17, di sini, pada Rabu.
Jelasnya, aspek kelestarian alam sekitar pelaksanaan projek pembangunan landskap di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui peruntukan Kerajaan Negeri, termasuk projek Esplanade Tasik Sitompok di Kuala Penyu dan Landskap Perbandaran Putatan yang dirancang di bawah RMK-13 turut diberi perhatian.
“Program Jelajah I-Hijau akan diteruskan di beberapa PBT terpilih di samping penganjuran Sabah Landscape Architecture Awards 2026 bagi menggalakkan amalan landskap mampan dan inovatif,” katanya.
Menurut Arifin, pengurusan sisa pepejal yang cekap dan berkesan merupakan antara teras utama kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar, khususnya bagi negeri yang kaya dengan biodiversiti seperti Sabah.
“Sehubungan itu, KKTP akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk pembinaan tapak pelupusan sampah di Semporna dan Paitan, pembinaan sel baharu di tapak pelupusan berpusat Keningau, menaik taraf jalan tapak pelupusan di Kampung Langkawit, Papar serta pembinaan stesen pemindahan sisa di Beaufort.
“Kerajaan Negeri juga akan membina dan menaik taraf tapak pelupusan sampah di Kudat serta membina sel baharu tapak pelupusan di Tawau,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan Sabah kini melaksanakan pendekatan pengurusan sisa moden berasaskan konsep 3R (Recover, Rehabilitate, Reuse) menggunakan teknologi IGNIS 3R yang telah terbukti berkesan dan memperoleh kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di beberapa negeri lain.
“Di Sabah, teknologi ini dilaksanakan sebagai projek perintis strategik di Tapak Pelupusan Sungai Sibuga, Sandakan dan Tapak Pelupusan Kampung Langkawit, Papar, tertakluk kepada pematuhan sepenuhnya keperluan kawal selia.
“Pendekatan itu memberi tumpuan kepada pemulihan tapak pelupusan sedia ada secara berfasa tanpa membuka tapak baharu, sekali gus mengurangkan pencemaran, meningkatkan kesihatan awam dan membolehkan tapak lama digunakan semula dengan selamat,” katanya.
Selain itu, Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Kerajaan Negeri akan meneruskan pembangunan perumahan awam kos rendah di Sukau, Melalap, Beluran dan Pitas, selain melaksanakan projek perumahan mampu milik di Kota Kinabalu dan Papar yang kini dalam pembinaan serta perancangan.
“LPPB turut diberi peruntukan untuk merancang dan membangunkan sembilan pekan baharu di seluruh Sabah sebagai sebahagian usaha memperkukuh pembangunan wilayah secara seimbang dan mampan,” tambahnya.






