
SANDAKAN – Cubaan menyeludup minyak petrol dan minyak masak menggunakan sebuah bot berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan dalam satu operasi di perairan Tanjung Niug, pada malam Jumaat.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak kira-kira 0.8 batu nautika di barat Tanjung Niug hasil rondaan rutin pasukan penguat kuasa.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot tersebut membawa kepada penahanan dua lelaki warganegara asing berusia 30 dan 34 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bot berkenaan membawa 126 unit tong mengandungi 2,520 liter minyak petrol serta 510 kilogram (kg) minyak masak tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan beberapa kesalahan, antaranya membawa barang kawalan tanpa permit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta menggunakan dokumen bot yang disyaki tidak sah mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah kira-kira RM53,000.
“Kesemua suspek bersama bot dan barangan rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut dan siasatan oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta jenayah maritim di perairan negara.
Sehubungan itu, orang ramai turut diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di laut kepada Pusat Operasi Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.







