
LIMBANG – Penganjuran Pesta Bot Laju di Sungai Kampung Limpaku Pinang dilihat sebagai langkah awal ke arah merealisasikan impian menjadikan Telok Brunai sebagai salah satu lokasi utama penganjuran sukan bot laju serta aktiviti sukan air bertaraf serantau di Limbang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, satu hari nanti sukan bot laju di Telok Brunai akan direalisasikan sebagai acara utama dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan Sarawak serta peringkat negara.
Menurut beliau, kawasan Telok Brunai mempunyai kelebihan dari segi lokasi strategik, keindahan semula jadi serta kedudukan berhampiran dengan sempadan antarabangsa yang membolehkannya menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.
“Kita mahu menjadikan Telok Brunai ini sebagai salah satu destinasi utama dalam kalendar pelancongan Sarawak dan negara.
“Dengan perancangan yang rapi, ia bukan sahaja mampu menarik minat peminat sukan air, malah mampu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi komuniti setempat,” katanya ketika berucap sempena Pesta Bot Laju di Sungai Kampung Limpaku Pinang pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang itu berkata, kerajaan kini sedang melaksanakan pembinaan jalan pelancongan menuju ke Telok Brunai yang dijangka siap dalam tempoh terdekat dan bakal membuka akses lebih mudah kepada orang ramai.
“Jalan ini amat penting kerana ia akan menghubungkan kawasan Telok Brunai yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Limbang serta berdekatan dengan jambatan terpanjang di Asia Tenggara milik Negara Brunei Darussalam.
“Apabila akses semakin baik, saya yakin kawasan ini akan menerima kunjungan pelancong yang lebih ramai dan seterusnya membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat,” jelasnya.
Hasbi turut menegaskan bahawa Telok Brunai mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat sukan air yang pelbagai, bukan hanya tertumpu kepada perlumbaan bot laju semata-mata.

“Selain sukan bot laju, kita boleh memperkenalkan aktiviti sukan air lain seperti kayak, layar, jet ski dan pelbagai lagi aktiviti rekreasi air yang sesuai dengan keadaan perairan di kawasan ini,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran Pesta Bot Laju di Kampung Limpaku Pinang menjadi bukti awal kesungguhan masyarakat setempat dan pihak penganjur dalam menyokong usaha membangunkan sukan air di Limbang.
Tambahnya lagi, sambutan menggalakkan dengan penyertaan dari pelbagai kawasan termasuk dari negara jiran seperti Brunei Darussalam membuktikan bahawa sukan air mempunyai potensi besar untuk dikembangkan di Bahagian Limbang.
“Sebanyak 16 pasukan telah mengambil bahagian dalam kejohanan ini yang melibatkan peserta dari Brunei Darussalam, Labuan, Lawas dan Limbang.
“Ini menunjukkan sukan air mampu menjadi platform penyatuan masyarakat serta mengeratkan hubungan serantau,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Hasbi turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM15,000 bagi menyokong pembangunan dan penganjuran aktiviti sukan air di Kampung Limpaku Pinang.
Beliau berharap penganjuran acara seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang dengan penglibatan lebih banyak agensi kerajaan, sektor swasta serta komuniti setempat.







