
KOTA KINABALU – Kerjasama strategik antara Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dan rakan media akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan komuniti di Kawasan Sabah Timur (ESS Zone) berada pada tahap terbaik.
Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata ESSCOM dapat mencapai objektif penubuhannya di kawasan ESS Zone dan berharap hubungan ini dapat dikekalkan menerusi bantuan dan sokongan rakan media.
“Saya percaya melalui aktiviti seperti ini, kita bukan sahaja mengeratkan hubungan, tetapi juga lebih mengenali antara satu sama lain.
“Media sentiasa menjadi mata, telinga dan suara kepada ESSCOM.
“Program ini bertujuan mengukuhkan hubungan silaturahim dan meningkatkan kefahaman mengenai peranan ESSCOM.
“Pada masa akan datang lebih banyak program bersama dapat dianjurkan untuk media,” beliau berkata ketika ditemui media sempena program persahabatan Tenpin Boling dengan Pengamal Media Sabah di sini pada Ahad.

Victor turut menzahirkan penghargaan atas sokongan media yang disifatkannya sebagai rakan penting dalam menyampaikan maklumat tepat berkaitan keselamatan kepada masyarakat.
Mengulas perkembangan keselamatan, beliau berkata keadaan di ESS Zone kekal stabil sepanjang tahun, termasuk ketika proses Pilihan Raya Umum dan pembentukan kerajaan baharu baru-baru ini.
“Keadaan begitu tenang dan damai. Kita berharap ia berterusan supaya komuniti di ESS Zone dapat meneruskan aktiviti harian dengan aman dan sejahtera.
“Ini penting untuk perkembangan keamanan awam dan pembangunan ekonomi kawasan tersebut,” katanya.
Victor berkata komitmen ESSCOM untuk terus memastikan ketenteraman rakyat Sabah, terutamanya di Pantai Timur, melalui operasi bersepadu dan kerjasama erat dengan semua agensi keselamatan.






