
KUALA LUMPUR – Pengekalan prestasi cemerlang dalam pengurusan transaksi rentas sempadan terus membuahkan hasil apabila AFFIN Group sekali lagi menerima J.P. Morgan U.S. Dollar Clearing Elite Quality Recognition Award bagi tahun 2023 hingga 2025, menjadikan ini tahun ketiga berturut-turut kumpulan perbankan itu meraih pengiktirafan berprestij berkenaan.
Anugerah tersebut diberikan berikutan pencapaian Straight-Through Processing (STP) 100 peratus bagi transaksi MT202 – kadar yang bukan sahaja melepasi penanda aras antarabangsa, malah berada pada tahap tertinggi dalam kategori MT202 Elite. Kategori itu hanya dianugerahkan kepada institusi kewangan yang mencapai STP minimum 99.70 peratus dengan jumlah sekurang-kurangnya 8,000 transaksi setahun.
Menurut kenyataan AFFIN, pencapaian sempurna itu mencerminkan kecekapan operasi serta ketepatan pengurusan pembayaran dolar Amerika melalui kerjasama dengan J.P. Morgan selaku rakan perbankan koresponden utama kumpulan tersebut.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kejayaan berterusan itu selari dengan teras strategik pelan AFFIN Axelerate (AX28) yang menumpukan kepada perkhidmatan pelanggan unggul, kepemimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab.
“Mengekalkan kadar STP 100 peratus selama tiga tahun berturut-turut memerlukan ketelitian, proses operasi yang mantap dan budaya penambahbaikan berterusan.
“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen kami menyediakan perkhidmatan pembayaran yang lancar, efisien dan dipercayai,” katanya.
Beliau menambah, keupayaan AFFIN memproses transaksi secara automatik tanpa ralat atau campur tangan manual turut memperkukuh kedudukan kumpulan itu dalam usaha pendigitalan perbankan dan penyampaian perkhidmatan bertaraf dunia kepada pelanggan runcit, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta korporat.
Pengiktirafan itu turut diterima ketika AFFIN Group meraikan ulang tahun ke-50 pada 2025, menandakan lima dekad pembangunan dan inovasi dalam industri kewangan negara.




