PUTRAJAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengecam tindakan pihak yang cuba membentuk persepsi seolah-olah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak secara salah dalam siasatan melibatkan saksi kes rasuah, Albert Tei yang kini dituduh sebagai pemberi rasuah.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata,
perlindungan ‘whistleblower’ hanya sah jika pelaporan dibuat sebelum melakukan kesalahan, dan melalui saluran rasmi pihak berkuasa.
Menurutnya, pemberi rasuah tidak layak dilindungi sebagai pemberi maklumat, seperti yang termaktub di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
“Sesiapa yang mendedahkan maklumat kepada media atau media sosial sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa secara sah, secara automatik hilang status ‘whistleblower’ dan tidak memiliki sebarang kekebalan.
“Oleh itu, status sebagai saksi kerajaan tidak memadamkan jenayah memberi rasuah dan tidak menjadikannya wira moral,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Jais memaklumkan, kes melibatkan Albert memperlihatkan trend berbahaya yang mana pemberi rasuah mengugut atau memperdaya undang-undang apabila tidak mendapat manfaat daripada jenayah
“Jika budaya ini dibiarkan, semua pemberi rasuah akan tampil sebagai ‘hero integriti’ selepas gagal mendapatkan apa yang mereka mahukan. Ini bukan perjuangan integriti, ini manipulasi dan pemerasan terhadap undang-undang.
“SPRM telah menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dilakukan secara berprosedur, tanpa kekerasan, dan tanpa sebarang ancaman senjata seperti didakwa. MCW menolak usaha melemahkan institusi penguatkuasaan melalui dakwaan liar tanpa bukti,” katanya.

Dalam pada itu, Jais berkata, SPRM tidak boleh dipaksa hanya menyiasat penerima rasuah dan negara tidak boleh mengamalkan keadilan separuh masak memandangkan pemberi dan penerima rasuah adalah dua jenayah yang sama berat.
Beliau menegaskan, mahkamah juga harus dijadikan tempat mencari kebenaran, bukan di medan media sosial atau menerusi propaganda politik.
“MCW menyeru semua pihak, termasuk ahli politik, peguam, NGO, saksi, pengamal media dan masyarakat supaya tidak mengganggu siasatan melalui serangan persepsi.
“Individu yang mendakwa dirinya tidak bersalah boleh mencabar, menyaman dan membuktikan kebenarannya di mahkamah, bukan dengan mencipta naratif untuk meraih simpati.
“SPRM bertindak mengikut undang-undang, tanpa takut dan tanpa pilih kasih. Tiada kekebalan undang-undang bagi pemberi atau penerima rasuah. Keadilan tidak boleh tunduk kepada naratif individu yang cuba menyelamatkan diri,” katanya.
Albert sebelum ini menjadi perhatian susulan beberapa pendedahan yang didakwa perbuatan rasuah antaranya melibatkan beberapa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.
Kemuncaknya adalah dakwaan ahli perniagaan berkenaan terhadap bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin membabitkan pemberian dan penerimaan sejumlah wang.
Bagaimanapun, Albert semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan memberi suapan kepada Shamsul Iskandar berbentuk wang tunai, kelengkapan perabot dan barangan elektrik keseluruhan berjumlah RM176,829.03.
Sementara itu, di mahkamah sama, Shamsul Iskandar yang turut didakwa atas empat pertuduhan bersetuju menerima rasuah dan menerima suapan itu daripada Albert mengaku tidak bersalah.





